Iraq kemuka aduan kepada PBB serangan Iran ke atas bandar Erbil


Serangan Iran ke atas bandar Erbil di Kurdistan menyebabkan beberapa orang awam terbunuh dan cedera. – Gambar AFP, 17 Januari, 2024.

IRAQ mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan tindakan Iran melancarkan serangan ke atas bandar Erbil di Kurdistan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Berita Iraq INA pada Rabu.

Kementerian Luar Iraq memaklumkan aduan itu difailkan kepada setiausaha agung PBB dan presiden Majlis Keselamatan. 

“Pencerobohan itu dianggap sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Iraq dan keselamatan rakyat Iraq,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada  Selasa, Iraq memanggil kuasa usaha Iran di Baghdad untuk menyatakan bantahan terhadap serangan itu.

Letupan kuat menggegarkan wilayah autonomi Kurdistan pada Isnin.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) kemudian dilaporkan berkata mereka menyerang sasaran di utara Iraq dan Syria dengan peluru berpandu balistik sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas di Iran baru-baru ini.

Perdana Menteri Kurdistan Masrour Barzani berkata beberapa orang awam terbunuh dan cedera dalam serangan itu. – Bernama, 3 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen