98 maut dalam letupan berkembar di Iran


Media tempatan Iran melaporkan sekurang-kurangnya 95 orang maut manakala lebih 210 cedera dalam letupan di tanah perkuburan di bandar Kerman semalam. – Gambar AFP, 4 Januari, 2024.

SEBANYAK dua letupan yang berlaku berhampiran dengan tanah perkuburan jeneral Iran Qassem Soleimani meragut nyawa sekurang-kurangnya 95 orang dan mencederakan lebih 210 yang lain pada Rabu, lapor media tempatan.

Letupan itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di tanah perkuburan di bandar Kerman di tenggara Iran untuk memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS).

Letupan pertama berlaku kira-kira 700 meter dari kubur Soleimani manakala letupan kedua dalam jarak satu kilometer dari kubur jeneral itu, Xinhua memetik Agensi Berita Iran (IRNA).

Timbalan gabenor wilayah Kerman bagi hal ehwal politik dan keselamatan, Rahman Jalali mendakwa letupan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas, lapor IRNA.

Saluran berita Islamic Republic of Iran News Network berkata punca letupan masih disiasat dan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian.

Kebanyakan mangsa yang cedera disebabkan oleh keadaan berasak-asak dan panik.

Kerajaan Iran telah mengisytiharkan Khamis sebagai hari berkabung negara.

Susulan insiden terbaharu itu, Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei berkata penyerang akan berdepan tindak balas yang keras Tehran.

Presiden Iran Ebrahim Raisi berkata: “Tidak diragui, pelaku dan pemimpin tindakan pengecut ini akan segera dikenal pasti dan dihukum.”

Sementara itu pegawai Amerika Syarikat (AS) menafikan sebarang andaian bahawa ia atau sekutunya Israel terlibat dalam letupan berkenaan.

“Amerika Syarikat tidak terlibat dengan cara apa pun. Dan andaian sebaliknya adalah tidak masuk akal. Dan kedua, kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa Israel terlibat dalam perkara ini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Matthew Miller kepada wartawan pada Rabu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara termasuk Rusia, Turkiye dan Jerman mengutuk letupan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat ketua PBB, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengutuk keras serangan itu dan menegaskan pihak bertanggungjawab mesti diheret ke muka pengadilan.

Dalam panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian, ketua dasar luar EU Josep Borrell mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Iran selain mendoakan mangsa yang cedera pulih dengan cepat.

Menurut kenyataan Kremlin, Presiden Rusia Vladimir Putin telah menghantar mesej kepada Khamenei dan Raisi, menyatakan bahawa Rusia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam semua bentuk dan mengesahkan komitmen untuk memeranginya.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dalam panggilan telefon dengan Raisi mengutuk letupan berkembar yang mensasarkan orang awam dan mengulangi gesaannya agar Iran bertindak bersama-sama dalam usaha memerangi keganasan.

Pejabat Erdogan berkata Raisi semasa panggilan telefon itu turut menyatakan untuk menangguhkan lawatannya ke Turkiye, yang dijadualkan pada Khamis, ke satu tarikh kemudian.

Perkara itu disahkan oleh timbalan ketua kakitangan presiden Iran untuk hal ehwal politik Mohammad Jamshidi. – Bernama, 4 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen