2 helikopter TLDM terhempas, 10 mangsa maut


Salah sebuah pesawat yang terhempas di pangkalan TLDM di Lumut, Perak. – Gambar Facebook, 23 April, 2024.

SERAMAI 10 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi dua pesawat helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas selepas berlanggar semasa latihan di pangkalan Lumut, Perak.

Markas Tentera Laut mengesahkan kesemua 10 mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalam TLDM.

Kenyataan disiarkan markas itu menyebut, dua pesawat itu menyertai satu raptai pagi ini bagi acara sambutan Hari Ulangtahun TLDM ke-90 di pangkalan itu.

Ia melibatkan satu pesawat HOM yang membawa tujuh nyawa dan satu pesawat Fennec yang membawa tiga nyawa.

Kedua-dua pesawat malang itu difahamkan berlepas dari Padang Sitiawan pada kira-kira jam 9 pagi ini sebelum kemalangan yang berlaku sekitar setengah jam kemudian.

Difahamkan, pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.

Menurut Markas Tentera Laut, satu lembaga siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pasukan itu juga memohon kepada orang ramai agar tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan penyiasatan.

Ia merujuk satu video tular yang menunjukkan dua pesawat tersebut yang jatuh selepas bertembung sewaktu penerbangan. – 23 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen