Bekas ahli Parlimen Bangi cadang 4 nama ganti ketua SPR 


Bekas ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mencadangkan empat calon untuk dinamakan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2024.

BEKAS ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mencadangkan empat calon untuk dinamakan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Mereka ialah timbalan ketua SPR kini Dr Azmi Sharom, ahli SPR Dr Mohd Faisal Hazis, bekas pengerusi dan peguam Bersih Ambiga Sreenevasan dan ahli sains politik Wong Chin Huat.

Bagaimanapun Ong berkata sebarang pelantikan hendaklah dibuat hanya selepas ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi sebelum dicadangkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk pertimbangan mengikut Perkara 114 perlembagaan persekutuan.

Jawatan pengerusi SPR kosong selepas Abdul Ghani Salleh bersara pada 9 Mei lalu.

Ong menambah pelantikan ketua SPR seterusnya akan menjadi salah satu keputusan paling penting yang perlu dibuat oleh kerajaan kerana orang yang akan datang perlu menyelia persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Persempadanan semula ini akan membentuk politik pilihan raya di Malaysia untuk dekad akan datang jika tidak lebih kerana ia akan mempengaruhi keseimbangan kuasa dalam dan antara negeri-negeri yang berbeza di Malaysia.

“Pengerusi SPR yang baharu juga akan bertanggungjawab untuk melaksanakan lebih banyak proses dan dasar yang sepatutnya menjadi medan pilihan raya, tanpa mengira siapa kerajaan hari ini. 

“Sekiranya parlimen dilangkau, dan syor itu datang semata-mata atas budi bicara perdana menteri, ini akan menjadi peluang yang hilang bagi kerajaan Madani untuk mempamerkan kelayakan reformisnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ong, sebelum ini jawatan pengerusi SPR sentiasa disandang oleh penjawat awam atau bekas penjawat awam kecuali Azhar Azizan Harun, seorang peguam secara latihan.

Azhar bagaimanapun meletak jawatan untuk memegang jawatan speaker Dewan Rakyat pada Februari 2020 berikutan pertukaran kerajaan.

Ong berkata pengerusi SPR yang baharu mesti dihormati oleh semua pihak dalam spektrum politik untuk kebebasannya, dan mahir dalam undang-undang yang mengawal pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Calon itu juga perlu mendapat keyakinan awam seperti dalam Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan, tambahnya.

Pergerakan masyarakat sivil sebelum ini seperti Tindak Malaysia dan Bersih berhujah bahawa kerajaan membincangkan calon SPR yang berpotensi melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tindak Malaysia berkata kerajaan mesti meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ketua pembangkang itu bersuara dalam proses itu.

Di bawah sistem sekarang, pengerusi SPR, timbalan pengerusi dan lima pesuruhjaya dilantik oleh Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Perlembagaan menyatakan bahawa komposisi ahli SPR mesti mendapat keyakinan awam.

Abdul Ghani bersara pada 9 Mei selepas empat tahun memegang jawatan itu sejak Ogos 2020. – 17 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen