Tahanan rumah tiada dalam undang-undang, kata sumber


K. Kabilan

Pada 2 Februari, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib Razak berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

ISU titah adendum atau tambahan dalam pengampunan diraja Najib Razak tidak penting kerana ia menggesa penahanan rumah yang tidak wujud di bawah undang-undang Malaysia, kata beberapa sumber kerajaan.

Pegawai yang tidak mahu dikenali berkata pengampunan diraja menawarkan tahanan rumah tidak terpakai di negara ini.

“Konsep pengampunan diraja memberikan penahanan rumah tidak terpakai kerana tiada peruntukan undang-undang khusus bagi langkah sedemikian.

“Walaupun kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, skop kuasa ini tidaklah sehingga mengenakan tahanan rumah sebagai satu bentuk pengampunan.

“Selain itu, tiada undang-undang khusus di Malaysia yang membenarkan tahanan rumah sebagai satu bentuk hukuman atau pengampunan,” kata mereka.

Mereka menegaskan permohonan Najib untuk diletakkan di bawah tahanan rumah adalah mustahil kerana tiada peruntukan khusus membenarkan tahanan rumah sebagai satu bentuk hukuman atau pengampunan.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan pelaksanaan hak prerogatif ihsan baginda.

Lembaga mempertimbangkan permohonan pengampunan, tunda hukum dan lega hukum, tetapi fungsinya tidak termasuk memberikan penahanan rumah sebagai satu bentuk pengampunan.

“Memandangkan keadaan ini, individu yang memohon pengampunan melalui pengampunan diraja di Malaysia mesti mematuhi rangka kerja dan prosedur undang-undang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan,” kata mereka.

“Susulan itu, jika titah adendum dalam pengampunan diraja mengatakan Najib mesti diberikan tahanan rumah, Jabatan Peguam Negara tidak boleh melaksanakannya kerana penangguhan hukuman seperti itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang kita.

“Ini perkara tidak penting untuk dibincangkan mengenai titah adendum kerana hal ini. Oleh itu, tiada gunanya mempersoalkan sama ada kerajaan menyedari perkara ini, dan hanya berdiam diri.

“Mungkin tempat terbaik untuk kerajaan menangani isu ini secara terbuka adalah dalam permohonan Najib,” tambah mereka.

Pada 1 April, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk dibenarkan menjalani hukuman penjara di rumah.

Dalam permohonannya, Najib berkata titah adendum dalam pengampunan diraja membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Beliau berkata titah adendum itu dikeluarkan oleh Agong pada 29 Januari lalu.

Pada 2 Februari, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International. 

Ini akan menyaksikan bekas pemimpin itu dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Lembaga juga mengurangkan denda RM210 juta Najib kepada RM50 juta.

Pihak lembaga berkata ia membuat keputusan itu selepas mesyuarat pada 29 Januari. Ia tidak memberi alasan bagi meluluskan permintaan Najib untuk pengampunan.

Pengampunan itu diberikan sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berundur.

Menambah kejutan pendedahan Najib mengenai kewujudan titah adendum ialah pengesahan Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu melalui afidavit menyokong bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu. 

Presiden dan timbalan perdana menteri Umno itu berkata beliau melihat titah adendum itu dalam telefon bimbit Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari, yang didakwa mendapatnya daripada bekas Agong.

Bagaimanapun beberapa jam selepas afidavit Zahid diketahui umum, Zafrul berkata beliau juga akan memfailkan afidavit bagi “membetulkan kesilapan fakta tertentu” dalam afidavit presiden Umno itu.

Sumber juga mempersoalkan mengapa kewujudan titah adendum diraja berhubung tahanan rumah itu hanya didedahkan kepada umum sekarang jika Zahid dan beberapa pihak yang lain mengetahui mengenainya pada akhir Januari lalu.

“Apa yang mereka tunggu? Adakah Najib tidak tahu mengenainya ketika itu? Bagi kerajaan, saya boleh memberitahu anda yang mereka tidak boleh bertindak atas titah adendum pengampunan diraja kerana ia membawa peruntukan yang tiada di bawah undang-undang,” katanya.

Mahkamah menetapkan 5 Jun ini bagi keputusan sama ada memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan semakan kehakiman. – 25 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen