Kerajaan enggan terlibat keputusan Lembaga Pengampunan, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan terlibat dalam isu melibatkan bidang kuasa Lembaga Pengampunan, yang mana Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau atau kerajaan tidak mahu terlibat dalam sebarang keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib Razak.

Beliau juga berkata afidavit Ahmad Zahid Hamdi menyokong dakwaan permohonan Najib yang terdapat titah tambahan tahanan rumah perlu dilakukan atas kapasiti beliau (Zahid) sebagai presiden Umno, dan bukannya mewakili kerajaan.

“Saya tidak mahu terlibat dalam perbincangan mengenai adendum (perintah tambahan),” kata Anwar kepada pemberita di Kajang ketika ditanya sama ada perintah tambahan itu wujud, menurut laporan.

“Ia terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan, yang mana Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak.

“Semua pihak harus menerima perkara ini dan menumpukan kepada memastikan keselamatan dan memperkukuhkan kestabilan,” katanya selepas solat Jumaat.

Anwar menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan Lembaga Pengampunan, sambil menambah titah Agong semasa mesyuaratnya akan dianggap muktamad dan tidak tertakluk kepada cabaran oleh kerajaan.

“Zahid (mengemukakan afidavit) atas kapasitinya sebagai presiden Umno, dengan peguam negara mewakili Lembaga Pengampunan,” katanya.

“Pendirian kami tetap teguh yang keputusan melibatkan Raja-Raja Melayu tidak akan dicabar.

“Saya enggan mengulas lanjut kerana ini selaras dengan prinsip kerajaan sejak merdeka,” katanya.

Anwar juga enggan mengulas sama ada beliau melihat adendum yang memberikan Najib kebenaran menjalani tahanan di rumah.

Zahid, yang merupakan timbalan perdana menteri, mengesahkan afidavit kewujudan perintah tambahan Agong membenarkan Najib menjalani tahanan rumah sebagai ganti hukuman penjaranya.

Najib membuat tuntutan di mahkamah mendakwa wujudnya perintah tambahan itu selain pengampunan sebahagian hukuman diberikan kepadanya pada Januari.

Dalam permohonannya, Najib berkata adendum dalam pengampunan Agong membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Beliau berkata adendum itu dikeluarkan oleh Agong pada 29 Januari lalu.

Pada 2 Februari, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International.

Ini akan membolehkan bekas pemimpin itu dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Lembaga juga mengurangkan denda RM210 juta Najib kepada RM50 juta.

Lembaga itu berkata ia membuat keputusan selepas mesyuarat pada 29 Januari. Ia tidak memberi alasan meluluskan permintaan Najib bagi pengampunan itu.

Pengampunan itu diberikan sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berundur.

Beberapa jam selepas afidavit Zahid diketahui umum, seorang lagi menteri dan pemimpin Umno, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau akan memfailkan afidavit bagi “membetulkan kesilapan fakta tertentu” dalam afidavit presiden Umno itu. – 19 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen