Afidavit Zahid boleh satukan Umno, kata pemerhati politik


Ravin Palanisamy

Afidavit Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan kewujudan titah tambahan pengampunan diraja Najib Razak membuktikan beliau memenuhi janjinya untuk membela bekas perdana menteri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

AFIDAVIT Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di rumah adalah untuk mengukuhkan sokongan dalam Umno, kata penganalisis politik.

Kata mereka tindakan Zahid yang juga presiden Umno itu sekali gus membuktikan beliau memenuhi janjinya untuk membela Najib.

Ini juga akan menghentikan khabar angin bahawa Zahid menentang Najib yang dilihat masih mempunyai pengaruh kuat dalam Umno.

“Afidavit Zahid adalah bukti jelas tanda terima kasih, sokongan dan komitmen beliau terhadap Najib.

“Tindakan ini dilakukan tepat pada masanya, sekali gus membuka mata kepada pihak dalam Umno yang berprangka buruk terhadap Zahid, yang mendakwa beliau tidak menyokong Najib atau tidak berbuat apa-apa untuk membebaskan bekas perdana itu daripada penjara,” kata pensyarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi kepada The Malaysian Insight.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, memfailkan afidavit pada 9 April lalu selaku ‘sakski penting’ bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah tambahan bertarikh 29 Januari lalu itu.

Dalam notis permohonan yang difailkan pada 1 April lalu, Najib mendakwa titah tambahan dalam pengampunan diraja yang membenarkan beliau untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dakwanya lagi, titah tambahan itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Januari.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Beliau menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Beberapa jam selepas afidavit Zahid itu didedahkan, seorang lagi pemimpin Umno iaitu Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memperbetulkan “beberapa kesilapan fakta” dalam afidavit presiden Umno itu.

Mengulas lanjut isu ini, Awang Azman berkata afidavit Zahid itu akan mengukuhkan lagi perpaduan dalam Umno.

“Ada segelintir mengatakan Zahid tidak sokong Najib dibebaskan awal. Bagaimanapun, afidavit beliau membuktikan sebaliknya. Secara tidak langsung ini akan meredakan ketegangan dalam Umno sekali gus menyatukan parti,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar turut senada dengan Awang Azman, berkata tindakan Zahid mengesahkan titah tambahan pengampunan diraja Najib memberi kelebihan kepada presiden Umno itu dan partinya.

“Afidavit Zahid melambangkan beliau komited membela Najib.

“Walaupun berada dalam kerajaan perpaduan, Zahid tetap berusaha untuk membebaskan Najib.

“Itulah janji yang beliau ikrarkan di hadapan keluarga Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2023 lalu,” katanya.

Risiko jejas hubungan Umno-Pakatan Harapan

Bagaimanapun, kata Hisomudin, isu afidavit Zahid ini boleh mencetuskan sedikit pergeseran dalam kerajaan perpaduan jika tidak ditangani dengan baik.

Pada 4 April lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak mengetahui sebarang titah tambahan berhubung kebenaran kepada Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

“Jika polemik ini tidak diselesaikan dengan baik, isu ini akan mencetus persoalan siapa yang berbohong kepada rakyat dan adakah ini berpotensi meretakkan hubungan Umno-Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan.

“Dan jika perkara ini tidak ditangani dengan baik ia mungkin akan memberi implikasi buruk kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti,” jelasnya.

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan memutuskan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, dan denda yang perlu dibayar olehnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat yang diadakan pada 29 Januari. 

Pengampunan diraja itu diberikan sehari sebelum tempoh jawatan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 tamat. – 22 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen