Zahid sokong dakwaan Najib berhubung titah adendum


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan titah adendum atau tambahan dalam pengampunan diraja baru-baru ini yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2024.

AHMAD Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan titah adendum atau tambahan dalam pengampunan diraja baru-baru ini yang membenarkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Zahid, yang merupakan timbalan perdana menteri dan presiden Umno, berkata beliau ditunjukkan imej telefon titah tambahan diraja itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari.

Beliau berkata demikian bagi menyokong dakwaan Najib untuk dibenarkan tahanan rumah dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama,” dakwa Ahmad Zahid.

Pada 1 April, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa titah adendum dalam pengampunan diraja baru-baru ini membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Beliau memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain untuk mengesahkan titah berkenaan yang didakwa dalam pengampunan diraja.

Najib mendakwa titah itu dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari.

Pada 2 Februari, lembaga pengampunan telah mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib atas kes rasuah RM42 juta SRC International, yang akan menyaksikan bekas pemimpin itu dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Lembaga itu berkata ia membuat keputusan itu selepas mesyuarat pada 29 Januari. Ia tidak memberikan alasan untuk meluluskan permintaan Najib untuk pengampunan.

Ia juga mengurangkan hukuman denda RM210 juta ke atas Najib kepada hanya RM50 juta.

Awal bulan ini, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa “saksi kritikal” ditetapkan untuk memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib.

Saksi itu ialah Zahid yang sebelum ini berikrar beliau dan Umno akan melakukan segala yang mampu untuk memastikan Najib mendapat keadilan.

Keputusan 5 Jun

Permohonan Najib di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh hari ini diadakan dalam kamar berikutan permintaan daripada Shafee.

Shafee telah memohon agar media dihalang daripada membuat liputan mengenai semakan kehakiman itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Shafee berkata kerajaan mesti menjelaskan mengapa kewujudan perintah tambahan diraja itu disembunyikan.

Menurutnya beliau tidak menerima sebarang jawapan kepada surat yang dihantarnya kepada beberapa menteri yang meminta pengesahan titah tambahan diraja.

Beliau berkata surat juga dihantar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Seseorang tidak boleh menyembunyikannya (titah adendum). Ini adalah titah Yang di-Pertuan Agong,” kata Shafee.

Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun untuk keputusan sama ada memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan semakan kehakiman. – 17 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen