10 lokaliti tambahan bagi pelepasan nyamuk aedes berWolbachia tangani isu denggi, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 10 lokaliti baharu untuk pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dicadangkan bagi menangani isu nyamuk denggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2024.

SEBANYAK 10 lokaliti baharu untuk pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dicadangkan bagi menangani isu nyamuk denggi dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha berkenaan yang dicadangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini memerlukan kos RM4 juta setahun untuk pelaksanaannya.

Katanya sejak 2019 pelepasan nyamuk itu dilaksanakan di 32 lokaliti membabitkan tujuh negeri dan usaha itu menunjukkan keberkesanan ketara.

“Penilaian keberkesanan menunjukkan kes denggi menurun 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan (nyamuk Aedes berWolbacha),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Putrajaya hari ini.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan Dr Zulkefly Ahmad kepada media selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan mengenai lokaliti bagi pelepasan nyamuk berkenaan sedang diperincikan dengan pihak tertentu terutamanya kerajaan-kerajaan negeri.

Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet itu juga mencadangkan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menjadikan pelepasan nyamuk berkenaan sebagai Projek Angkat PBT.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajan, syarikat berkaitan kerajaan termasuk penubuhan ‘task force’ bersama syarikat bukan kerajaan (GLC) bagi menangani isu itu.

Beliau berkata satu kertas Memorandum Jemaah Menteri akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu yang menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Mengenai perkembangan kes denggi di negara ini Ahmad Zahid berkata 123,133 kes dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding 66,102 kes pada tahun 2022 meningkat 86.3 peratus.

“Jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi adalah 100 kes dilaporkan pada tahun lepas berbanding 56 kematian pada 2022,” katanya. – Bernama, 15 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen