Kabinet tidak bincang isu tahanan rumah Najib, kata Fahmi


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung “perintah tambahan" tidak dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2024.

TIADA perbincangan dalam Kabinet hari ini mengenai dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung “perintah tambahan” yang dikatakan daripada Yang diPertuan Agong sebelum ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan mengesahkan perkara itu kepada media.

“Tiada tuntutan sedemikian dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kami hari ini,” katanya.

Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk dibenarkan menjalani hukuman penjara di tahanan rumah.

Dalam permohonannya Najib mendakwa bahagian tambahan (adendum) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Permohonan Najib difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April.

Beliau memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, Kerajaan Persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan dakwaan itu.

Pada 2 Februari Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib atas kes rasuah RM42 juta SRC International yang akan menyaksikan bekas perdana menteri itu dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Lembaga itu berkata ia membuat keputusan itu selepas mesyuarat pada 29 Januari.

Ia juga mengurangkan denda RM210 juta Najib kepada hanya RM50 juta.

Pada 2020 Najib disabitkan atas kesalahan dalam skandal 1MDB bernilai berbilion dolar dan mula menjalani hukuman pada Ogos 2022. – 3 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen