Lembaga pengampunan putuskan kes Najib minggu depan, kata laporan


PERMOHONAN pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan ditetapkan untuk dibincang dan diputuskan lembaga pengampunan akhir bulan ini, lapor CNA yang berpangkalan di Singapura.

Agensi berita itu berkata permohonan Najib pertama kali dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengampunan pada Disember, dan diputuskan bahawa perkara itu akan ditangguhkan ke sesi bulan ini.

Mesyuarat itu dijadualkan pada minggu ketiga Januari dan “kemungkinan keputusan dibuat”, lapor CNA, memetik sumber kerajaan.

Mesyuarat pada Disember lalu dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Baginda akan menghadiri mesyuarat pada bulan Januari sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir pada penghujung bulan.

Anwar bagaimanapun dijangka tidak hadir kerana slot itu dikhaskan untuk menteri Wilayah Persekutuan yang telah disandang oleh Dr Zaliha Mustapha dalam rombakan Kabinet bulan lepas.

Pengampunan Najib adalah atas hukuman penjara 12 tahun atas sabitan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sabit kesalahannya juga membawa denda RM210 juta yang masih belum diselesaikan.

Beliau masih menghadapi perbicaraan lain yang berkaitan dengan dana kerajaan.

CNA juga melaporkan peguam Najib, Mohammad Shafee Abdullah enggan mengulas mengenai perkara itu, mengatakan beliau “tidak mahu merumitkan proses pengampunan”.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli kanan di pihak Najib dipetik sebagai berkata mereka merasakan “sedikit getaran positif” daripada lembaga pengampunan.– 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen