Najib mohon jalani baki hukuman penjara di rumah


Najib Razak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk dibenarkan menjalani hukuman penjara di tahanan rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2024.

NAJIB Razak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk dibenarkan menjalani hukuman penjara di tahanan rumah.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April.

Dalam permohonannya Najib mendakwa bahagian tambahan (adendum) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Beliau memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, Kerajaan Persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan dakwaan itu.

Najib mendakwa tambahan itu dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari.

Pada 2 Februari Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib atas kes rasuah RM42 juta SRC International yang akan menyaksikan bekas perdana menteri itu dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Lembaga itu berkata ia membuat keputusan itu selepas mesyuarat pada 29 Januari.

Ia juga mengurangkan denda RM210 juta Najib kepada hanya RM50 juta.

Pada 2020 Najib disabitkan atas kesalahan dalam skandal 1MDB bernilai berbilion dolar dan mula menjalani hukuman pada Ogos 2022.

Dalam permohonan terbaharunya Najib memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu tetapi “dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah”.

Najib juga memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Permohonannya ditetapkan untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok. – 3 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen