Apandi fail kebenaran rayu keputusan mahkamah tolak saman terhadap Kit Siang


Pada 2 November lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Apandi Ali untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM100,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2023.

BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah RM10 juta terhadap Lim Kit Siang.

Peguam Apandi, Rueben Mathiavaranam dan M.Visvanathan ketika dihubungi mengesahkan permohonan kebenaran untuk merayu itu difailkan pada 1 Disember lepas.

Rueben berkata lima persoalan undang-undang dicadangkan dalam permohonan kebenaran merayu termasuk persoalan sama ada mengenai perkara melibatkan tindakan atau bukan tindakan peguam negara dalam peranan dan jawatan beliau sebagai peguam negara, termasuk pelaksanaan budi bicara pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah wajar atau tidak.

Pada 2 November lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Apandi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM100,000.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hadhariah Syed Ismail, M Gunalan dan Azmi Ariffin, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Apandi selepas memutuskan tiada merit untuk rayuan itu.

Hakim Hadhariah yang membacakan keputusan mahkamah memutuskan Lim berjaya menimbulkan pembelaan justifikasi dan komen yang adil untuk menangkis saman itu.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Apandi terhadap tokoh veteran DAP itu dan beliau kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan keesokan harinya. 

Apandi menyaman Lim kerana didakwa memfitnah beliau dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd. – Bernama, 7 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen