Tiada layanan istimewa untuk Najib di penjara, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Najib Razak tidak menerima sebarang layanan istimewa semasa menjalani hukuman penjara di penjara Kajang. – 4 April, 2024.

NAJIB Razak tidak menerima sebarang layanan istimewa semasa menjalani hukuman penjara di penjara Kajang, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

“Tiada sesiapa menerima layanan istimewa di penjara termasuk Najib.

“Saya tetap dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Penjara kerana mereka yang menjaga bekas perdana menteri 24 jam sehari.

“Jabatan Penjara mempunyai pegawai dan blok mereka sendiri… dan mereka memantau Najib seperti cara mereka mengawasi banduan lain,” katanya ketika sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun katanya beliau tidak mengetahui dakwaan bahawa Najib tidak memakai pakaian tahanan di penjara.

Bulan lalu pendakwah Wan Ji Wan Hussin memberitahu Malaysiakini dalam satu wawancara bahawa Najib menerima “layanan yang sangat istimewa” di penjara dan “tidak memakai pakaian banduan” tetapi “pakaian biasa seperti di rumah”.

Wan Ji yang baru-baru ini dibebaskan selepas menjalani hukuman di Penjara Kajang juga berkata Najib ditempatkan di “blok khas” di penjara itu.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Nordin Muhamad menafikan kenyataan Wan Ji dan menegaskan setiap banduan dilayan sama rata.

Dalam perkara lain Saifuddin turut menyentuh permohonan Najib untuk menamatkan hukumannya di bawah tahanan rumah berdasarkan “perintah tambahan” yang dikatakan daripada Yang diPertuan Agong sebelum ini.

Saifuddin berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai “perintah tambahan” itu.

“Saya hanya menerima permohonan daripada Najib untuk menghabiskan baki masa penjaranya di bawah tahanan rumah.

“Dan saya tidak mempunyai maklumat mengenai dokumen tambahan ini.

“Saya bukan ahli Lembaga Pengampunan. saya tidak tahu.

“Sebab itu saya nyatakan bahawa kita akan mengkaji perkara itu berdasarkan maklumat yang ada,” tambahnya.

Pada 2 Februari Lembaga Pengampunan mengumumkan ia mengurangkan separuh tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun. Ini bermakna Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028. – 4 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen