Abang Jo tidak ulas spekulasi lantikan Yang di-Pertua Sarawak baru


Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata kuasa melantik jawatan Yang di-Pertua Negeri merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong. – Gambar Facebook, 20 Januari, 2024.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg tidak memberikan ulasan mengenai spekulasi pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu. 

Sebaliknya beliau hanya berkata kuasa melantik jawatan Yang di-Pertua Negeri merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong. 

“Saya tidak dapat komen, kerana kuasa mutlak (untuk melantik) adalah pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Kuching, hari ini. 

Beliau juga enggan mengulas laporan bahawa Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletak jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Yang itu perlu tanya dengan dia (Wan Junaidi) sendiri,” katanya.

Semalam, media melaporkan Wan Junaidi telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kini disandang Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada pada 1 Mac 2014. – Bernama, 20 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen