CAP gesa kerajaan larang kedai makan beroperasi 24 jam 


KUMPULAN masyarakat sivil menyokong langkah beberapa kedai makan memendekkan waktu operasi, dengan mendakwa makan lewat malam menyebabkan kesan negatif seperti penambahan berat badan, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata akses terhad kepada makan lewat malam akan lebih menyihatkan bagi rakyat Malaysia.

“Pada masa ini rakyat Malaysia tidak sihat kerana kita mempunyai obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara. Dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 50.1% daripada populasi dewasa kita dilaporkan mengalami berat badan berlebihan (30.4%) atau obes (19.7%). 

“Berbanding individu dengan berat badan normal, obesiti meningkatkan risiko diabetes jenis 2 sebanyak tujuh kali ganda bagi lelaki dan peningkatan 12 kali ganda kepada wanita. Kajian tempatan mendapati 30% daripada pesakit diabetes jenis 2 kami secara klinikalnya mengalami obes,” kata presidennya Mohideen Abdul Kader berkata dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau berkata obesiti adalah faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan kanser.

“Memandangkan keadaan dan jumlah rakyat Malaysia yang terjejas tinggi, didedahkan sebanyak RM9.65 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk menangani (NCD) di negara ini.

“Walaupun memendekkan waktu operasi bagi kedai makan tidak akan menyelesaikan sepenuhnya isu obesiti di Malaysia, ia akan membantu mengurangkan tabiat makan lewat malam dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini seterusnya berpotensi untuk memupuk tabiat pemakanan lebih sihat dan menggalakkan tabiat tidur yang lebih baik,” katanya.

Penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam mereka mempunyai lebih 40% keperluan tenaga harian yang menyebabkan faktor risiko ketara untuk obesiti, kata Mohideen.

Beliau berkata tabiat pemakanan tidak sihat, ditambah dengan pemakanan tidak seimbang yang terdiri daripada makanan tinggi lemak dan kandungan garam (biasa bagi makanan di Malaysia) ketika pengambilan snek selepas makan malam, turut dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular.

Beliau berkata ketersediaan makanan dan minuman yang meluas sepanjang masa memberi kesan ketara kepada kesihatan mulut.

“Akses mudah kepada makanan ringan dan minuman manis yang dihantar pada bila-bila masa menimbulkan ancaman berterusan kepada enamel gigi yang meningkatkan risiko kaviti dan jangkitan.

“Menurut Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan, didapati 94.6% orang dewasa Malaysia memerlukan beberapa bentuk rawatan pergigian, dengan kerosakan gigi menjadi masalah utama. Enam dalam 10 orang dewasa memerlukan penjagaan akibat kerosakan gigi, berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 2022,” tambahnya.

Selain itu, kesan kesihatan diburukkan lagi oleh ketidakseimbangan nutrisi akibat pengambilan makanan diproses dan segera. Jurnal Pergigian British (BDJ) menekankan hubungan antara pemakanan yang tidak sihat dan tindak balas imun yang lemah, menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan mulut dan penyakit gusi.

Bagi menangani obesiti, Mohideen berkata kerajaan harus mengambil langkah berani dalam menarik balik makanan tidak sihat dan menaikkan cukai ke atas semua jenis minuman dan makanan manis selain menyediakan insentif dan rancangan jangka panjang.

“Memandangkan keadaan itu, CAP menyeru pihak berkuasa memansuhkan lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan.

“Kerajaan harus lebih serius dalam mengawal persekitaran yang menggalakkan obesiti, dengan mewajibkan semua kedai makanan ditutup pada tengah malam dan bukannya dibenarkan beroperasi 24 jam sehari,” tambahnya. – 23 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen