CAP gesa kekalkan nikotin dalam Akta Racun


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. – Gambar AFP, 5 April 2023.

SEMUA ahli Parlimen perlu menyokong usaha mengekalkan nikotin sebagai bahan kawalan di dalam Akta Racun 1952, gesa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presidennya Mohideen Abdul Kader hari ini menggesa kerajaan supaya meluluskan rang undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang bertujuan untuk melarang penggunaan tembakau dan vape bagi individu yang dilahirkan selepas 2007 tanpa sebarang perubahan pada kandungan asal. 

“Seruan untuk GEG adalah berdasarkan peristiwa semasa dan bukti saintifik.

“Membenarkan Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDs) dan produk tembakau yang dipanaskan (HTP) akan menjejaskan objektif Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengharamkan merokok dan penggunaan tembakau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan umum satu rang undang-undang (RUU) baharu bagi mengawal sediaan nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape akan dibentang di Dewan Rakyat pada Mei.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata RUU itu penting bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair vape.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata pada masa ini nikotin dikategorikan sebagai racun Kumpulan C yang memerlukan ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan, pergigian atau veterinar berdaftar untuk menjual sebarang bentuk penyediaan yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun (PA) 1952.

“Langkah untuk membendung ketagihan nikotin pada masa depan dalam kalangan generasi akan datang adalah dengan mencontohi Australia. 

“Mulai 1 Oktober 2021, semua produk vape nikotin, seperti e-rokok nikotin, pod nikotin dan cecair nikotin, dikelaskan di bawah ubatan Jadual 4 (preskripsi sahaja). 

“Oleh itu, seseorang itu tidak boleh membeli mana-mana produk tanpa preskripsi doktor,” jelasnya.

Beliau selain itu menekankan keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia.

“Pusat Racun Negara (NPC), Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. 

“Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun, paling muda 4 bulan.

“Dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama,” katanya.

Mohideen seterusnya berkata menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) terdapat lebih 97% e-cecair dengan nikotin di dalam pasaran tempatan. 

“Kajian di Eropah menunjukkan banyak sampel yang diperoleh daripada pasaran menunjukkan kebanyakannya melebihi 10% jumlah nikotin yang ditetapkan.

“Adakah Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut rentak teknik jualan pengedar bahan beracun yang boleh menagihkan?” soalnya.

Sementara itu Pesuruhjaya Kanak-Kanak Farah Nini Dusuki turut melahirkan rasa kesal dengan dengan keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada senarai berjadual bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 baru-baru ini.

Keputusan itu katanya boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat akses tanpa had terhadap cecair dan gel yang mengandungi nikotin, yang seterusnya membawa kesan buruk kepada kesihatan tanpa sebarang sekatan undang-undang. 

“Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC) berperanan memastikan bahawa setiap kanak-kanak mendapat akses kepada tahap kesihatan tertinggi yang boleh dicapai seperti yang termaktub dalam Artikel 24 CRC. 

“Di bawah Seksyen 2(f) artikel yang sama, Malaysia wajib melaksanakan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan bagi mempromosi dan melindungi hak ini,” kata Farah Nini dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal secara tersiratnya membolehkan produk berkaitan dengan nikotin digunakan oleh individu yang berusia di bawah 18 tahun, memandangkan larangan oleh Seksyen 17 Akta 336 tidak lagi terpakai.

“Keputusan tersebut bertentangan dengan semangat Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengakui bahawa kanak-kanak memerlukan perlindungan khusus, penjagaan dan bantuan, termasuklah daripada asap dan persekitaran yang dicemari oleh nikotin.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa kanak-kanak tidak terdedah kepada perkara yang memudaratkan kesihatan fizikal dan emosi mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan walaupun terdapat banyak bukti yang mengaitkan nikotin dan bahan toksik dari e-rokok dengan kerosakan perkembangan otak, namun kerajaan tetap mengambil keputusan tersebut yang meletakkan kanak-kanak dalam risiko ketagihan nikotin yang tinggi.

“Pesuruhjaya Kanak-kanak juga mengambil maklum mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan pengambilan tembakau dengan menaikkan cukai tembakau.

“Hal ini tidak wajar dikelirukan dengan pembukaan ruang kepada kebanjiran produk yang berkaitan dengan nikotin kepada pengguna baru, terutama kanak-kanak. 

“Ia menjadi keraguan sama ada kenaikan cukai kepada pembeli e-rokok benar-benar akan menjana pendapatan dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi negara,” menurutnya.

Farah Nini seterusnya berkata mengeluarkan nikotin daripada senarai akan membawa kepada pertambahan kes penyakit yang berkaitan dengan paru-paru, serta membebankan sistem kesihatan awam, dan meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan.

“Perkara ini jelas bercanggah dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok daripada 40% kepada 15% menjelang tahun 2025.

“Pesuruhjaya Kanak-kanak menggesa kerajaan untuk terus memenuhi komitmen membina persekitaran bebas asap rokok seperti yang telah diusahakan dahulu. 

“Pengabaian kepada komitmen ini akan membawa kesan yang berpanjangan kepada kesihatan dan persekitaran kanak-kanak, sekali gus menggugat konsep Malaysia Madani,” tegasnya.

Konsep ini katanya memberi tumpuan kepada pembangunan mampan yang merangkumi tidak hanya aspek ekonomi tetapi juga kesejahteraan sosial dan alam sekitar. – 5 April 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen