NGO rayu henti projek tambak laut Pulau Pinang


Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia merayu kerajaan negeri dan persekutuan supaya tidak meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2023.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini merayu kepada kerajaan negeri dan persekutuan supaya tidak meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dan Setiausaha SAM, S Mageswari dalam satu kenyataan berkata pengecilan skala projek daripada tiga kepada satu pulau tetap tidak meredakan kebimbangan semua pihak yang terlibat, terutamanya komuniti nelayan.

“Projek ini tidak diperlukan kerana kami telah menyatakan berulang kali bahawa tanah di tanah besar adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pengembangan aktiviti ekonomi.

“Dengan adanya projek ini, ia akan memusnahkan ekosistem kehidupan laut yang tidak boleh diganti yang mana, perbuatan itu tidak wajar dan tidak masuk akal.

“Sekali lagi kami merayu kepada kerajaan persekutuan khususnya perdana menteri dan kerajaan negeri supaya tidak memburukkan lagi ketidakadilan alam sekitar dan sosial dengan meneruskan projek penambakan,” kata mereka.

Kenyataan itu juga menuntut penjelasan sama ada kerajaan negeri sudah mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang mesti dipatuhi.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerja-kerja persediaan bagi projek Pulau Silikon di negeri itu akan dimulakan hari ini selepas memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Ini adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Penang South Island (PSI) yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chow, dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September ini dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

Katanya lagi, kerajaan Negeri juga akan membuat bayaran ex-gratia 75% akan mula dikreditkan secara berfasa bermula 1 September kepada komuniti nelayan yang terkesan oleh projek berkenaan, manakala baki 25%s akan disempurnakan pada awal tahun depan.

Mengulas lanjut mengenai isu PSI, CAP dan SAM berkata tindakan kerajaan untuk meneruskan projek itu mengejutkan, walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh nelayan, termasuk daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang dan semua unit perkampungan nelayan di kawasan terbabit.

“Sebelum ini, Pen Mutiara telah mencabar kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tetapi tiada tarikh pendengaran ditetapkan setakat ini oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974..

“Kerajaan Madani sering melaungkan mereka bertindak demi kepentingan memastikan keadilan sosial, tetapi apa yang berlaku kini, mereka telah mengabaikan bantahan para nelayan. Ini jelas bertentangan dengan apa yang laungan mereka selama ini.

“Tolonglah dengar suara kami terutamanya para nelayan dan tidak hanya membuat keputusan di atas kepentingan peribadi yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Hentikan permulaan kerja dengan serta merta,” menurut kenyataan itu. – 1 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen