-2.jpg)
KAWASAN tempat menangkap ikan perlu digazet, dilindungi dan dipelihara untuk kelestarian jaminan makanan.
Rancangan pembangunan Pulau Pinang khususnya pembangunan Pulau Pinang Selatan (PSI) meninggalkan kesan yang amat kritikal kepada sumber pendapatan, masa depan nelayan dan menjejas bekalan ikan tempatan tetapi tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menyediakan sumber pendapatan alternatif.
Kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Balik Pulau Zakaria Ismail perlu diambil dengan serius kerana ia juga menjejas isu jaminan makanan dan alam sekitar.
Unit nelayan Sungai Batu bersama Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) dan juga Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang membantah keras projek PSI kerana kawasan terbabit menjadi satu-satunya punca dan sumber pendapatan nelayan Pulau Pinang.
Hasil tangkapan ikan yang di jual melalui Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan sahaja dari kawasan yang terbabit berjumlah RM6 juta setahun dengan tangkapan ikan melebihi 500 tan. Jumlah ini tidak termasuk hasil tangkapan nelayan dari Kedah Selatan dan Perak Utara di tempat kawasan menangkap ikan yang sama.
Projek PSI bukan mengurangkan, tetapi akan memusnahkan terus hasil tangkapan di Selatan Pulau Pinang dan ini akan menjejas isu jaminan makanan dan bekalan ikan kepada penduduk di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Seramai 6,000 nelayan akan kehilangan mata pencarian. Bekalan ikan akan terjejas di Pulau Pinang, Kedah dan Perak, dan jaminan makanan negara juga akan terancam. Jumlah bantuan kepada nelayan akan terus meningkat tanpa solusi kepada masa depan keluarga Nelayan.
Ini belum difaktorkan lagi kesan kepada alam semula jadi akibat dari tambakan laut projek PSI.
Malaysia memperuntukkan jumlah yang besar untuk memberi subsidi dan elaun sara hidup kepada Nelayan dan jumlah subsidi ini akan terus meningkat dan berterusan akibat dari dasar kerajaan yang tidak peka kepada keperluan nelayan.
Pada 2023, bantuan pukat kepada semua nelayan di Pulau Pinang meningkat kepada RM1.614 juta berbanding RM959,600 pada 2022. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula memberi bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 38,500 nelayan di seluruh negara.
Kerajaan persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi bantuan subsidi minyak, insentif tangkapan ikan, insuran nelayan dan perumahan nelayan.
Tanpa perancangan yang menyeluruh, nelayan akan sentiasa memerlukan bantuan. Kerajaan perlu menyediakan satu dasar untuk memastikan masa depan nelayan terjamin tanpa perlu mengemis bantuan, dan faktor yang terpenting untuk kelestarian nelayan ialah kawasan menangkap ikan. Kawasan menangkap ikan yang subur perlu digazet, dilindungi dan dipelihara.
Perikanan adalah satu industri yang menguntungkan di negara-negara maju tetapi di Malaysia, nelayan tergolong dalam golongan miskin yang memerlukan bantuan.
Salah satu cara ialah melalui penggabungan kampung-kampung nelayan di bawah pengurusan profesional, mengadaptasi teknologi terkini dan model bisnes yang memastikan hasil tangkapan dapat menjamin pendapatan sepanjang tahun termasuk semasa musim tengkujuh. Ini boleh dicapai melalui proses ikan dalam tin atau pembekuan ikan.
Kami menggesa kerajaan untuk memberhentikan projek PSI dan merangka dasar yang menyeluruh untuk memastikan nelayan dapat menjalani kehidupan yang selesa dengan pendapatan yang terjamin tanpa memerlukan apa-apa bantuan dari kerajaan. – 7 Julai 2023.
* Armin Baniaz Pahamin, presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen