Krisis politik dan keunikan Al-Sultan Abdullah


G Manimaran

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengakhiri pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2024.

AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengakhiri pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun.

Tempoh ini bermula 31 Januari 2019, iaitu kira-kira lapan bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Baginda naik takhta ketika Malaysia menyaksikan kerajaan persekutuan berubah tangan.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang turun takhta.

Dalam sistem raja berperlembagaan yang menjadi asas kepada Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan untuk mengukuhkan keabsahan demokrasi negara dan titah Seri Paduka mestilah dijunjung. Begitu juga Sultan dan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri masing-masing.

Peranan Yang di-Pertuan Agong selari dengan peruntukan Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan baginda sebagai ketua persekutuan. Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kerajaan yang dianggotai oleh Kabinet bermula dengan pelantikan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43(2)(a) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu…”.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa institusi diraja mempunyai nilai dan kepentingannya tersendiri dan bukan hanya lambang adat serta kesinambungan sejarah semata-mata. Apabila keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan rakyat tergugat, raja-raja turut berperanan untuk menegur, menasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Ini terbukti selepas PRU14 yang berlangsung pada 2008 apabila berlaku krisis berhubung pelantikan menteri besar di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu, dan telah berjaya diselesaikan menerusi kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintah.

Daripada segi pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dalam lima aspek utama, antaranya memberi perkenan untuk pembubaran Parlimen ataupun sebaliknya dan juga menerima keputusan rasmi yang akan disampaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Baginda juga berperanan melantik perdana menteri selepas PRU atau jika keadaan memerlukan sebagaimana telah disaksikan sepanjang pasca-PRU14, memberi perkenan kepada senarai anggota Jemaah Menteri yang hendak dibentuk dan menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah, dan merasmikan sidang parlimen selepas PRU selesai diadakan dan seterusnya setiap tahun.

Yang di-Pertuan Agong telah memainkan peranan-peranan itu sejak PRU yang pertama. Tradisi itu berterusan sehingga kini.

Banyak keunikan dan kelainan telah disaksikan sepanjang pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama telah melantik tiga orang perdana menteri dan empat orang perdana menteri telah berkhidmat sepanjang lima tahun baginda menerajui takhta negara. Mereka terdiri daripada Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri ketujuh) yang meletakkan jawatan pada Februari 2020 berikutan Langkah Sheraton, diikuti oleh Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10 selepas PRU15. Tiga perdana menteri pertama itu berhadapan dengan krisis dan kemelut politik yang telah meletakkan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan sukar yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah Malaysia.

Sejurus selepas Ismail Sabri mengumumkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari yang sama memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan untuk membubarkan Parlimen, selain menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Malah menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar SPR dapat menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat, mengambil kira impak Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November. Dalam sejarah negara, ini kali pertama seorang Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan kenyataan mengenai perkenan pembubaran dan lebih-lebih lagi mengatakan baginda “kecewa” dengan perkembangan politik semasa.

Ia juga kali pertama seorang Yang di-Pertuan Agong mengadakan lawatan ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, sesi taklimat yang diadakan atas permintaan Yang di-Pertuan Agong sendiri yang mahu melihat persediaan dan kesiapsiagaan semua agensi kerajaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Lawatan baginda itu yang berlangsung beberapa jam sebelum perdana menteri mengadap baginda telah menarik perhatian seluruh negara kerana khabar angin mengenai pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 juga kuat diperkatakan. Ketika sesi taklimat itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

Lawatan itu secara tidak langsung mencetuskan keyakinan dalam kalangan rakyat bahawa PRU15 tidak akan diadakan pada penghujung tahun 2022, meskipun PRU pernah diadakan pada penghujung bulan November 1999 – lebih dua dekad yang lalu.

Ketika itu isu musim tengkujuh tidak menjadi perhatian ramai di sebalik kekangan politik yang menyelubungi negara akibat gelombang reformasi yang digerakkan oleh pengikut-pengikut Anwar apabila beliau dipecat oleh Dr Mahathir. Malah, pada ketika itu tidak ada isu kesihatan serius bertaraf global seperti Covid-19.

Beberapa jam sebelum sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 6 Oktober 2022, Ismail Sabri dilaporkan oleh media bahawa “sekiranya boleh” beliau akan mengemukakan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Meskipun Ismail Sabri mengadakaan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, tetapi laporan media memetik Pejabat Perdana Menteri dan pihak Istana Negara mengesahkan bahawa tarikh pembubaran Dewan Rakyat tidak dibincangkan semasa perdana menteri mengadap, sebaliknya hanya merupakan sesi taklimat pramesyuarat Kabinet.

Selain itu, peranan dan fungsi institusi diraja mendapat perhatian apabila darurat dikuatkuasakan pada awal tahun 2021 dan baginda sendiri telah meminta agar kerajaan membatalkan darurat menjelang bulan Ogos 2021.

Proklamasi darurat hanya diberi perkenan apabila Muhyiddin membuat sembah permohonan kali kedua. Pada 25 Oktober 2020, Al-Sultan Abdullah telah menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya.

Keputusan menolak itu dicapai selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu. Baginda turut bertitah ahli-ahli politik agar menghentikan segala ‘politiking’ keterlaluan yang boleh mengganggu kestabilan negara manakala Mesyuarat Raja-Raja Melayu turut berpendapat tiada keperluan ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab.

Pada Julai 2021, status proklamasi menjadi isu apabila pihak pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan dan Proklamasi Darurat tanpa dibincangkan di Parlimen atau dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, menjelang Belanjawan 2021, Seri Paduka Baginda sendiri telah mengeluarkan titah khas beberapa kali agar semua parti menyokong belanjawan tahunan ketika suhu politik semakin meningkat. Misalnya menjelang sesi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020, baginda dilaporkan telah menitahkan agar semua parti politik “sama ada blok kerajaan atau pembangkang perlu bertindak di luar batas partisan demi kepentingan rakyat, dengan memberi sokongan” dan titah itu disempurnakan oleh anggota Dewan Rakyat.

Bertolak daripada keadaan itu, sejurus selepas keputusan PRU15 diumumkan, Al-Sultan Abdullah, pada 20 November 2022, telah menitahkan supaya gabungan parti politik mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon perdana menteri ke-10 kepada Istana Negara.

Tindakan itu diambil selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada SPR, yang menunjukkan, sebagaimana telah dijangkakan, tiada parti dan gabungan politik yang telah berjaya meraih majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan baharu. Selepas mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu, baginda menasihatkan parti-parti politik membentuk kerajaan perpaduan.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Al-Sultan Abdullah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk merungkaikan isu-isu semasa negara yang besar, khususnya berkaitan dengan pelantikan perdana menteri kesembilan. Ia berikutan keputusan Muhyiddin meletak jawatannya pada 16 Ogos 2021. Susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Istana Negara mengisytiharkan Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

Seminggu kemudian, Majlis Raja-Raja Melayu pada 30 November menggesa ahli politik berhenti mencetuskan kebencian dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum susulan peningkatan ucapan berunsur kebencian selepas pembentukan kerajaan perpaduan, yang pertama dalam sejarah.

Penzahiran untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan dan seseorang perdana menteri semasa bukan sahaja dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 2020, tetapi juga oleh beberapa Raja-Raja Melayu. Antara lain pada Ogos 2023, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya lebih banyak masa diberikan kepada Anwar untuk membangunkan ekonomi negara. Baginda beritah nasihat itu dikeluaekan berikutan masalah krisis kewangan yang didepani oleh kerajaan perpaduan pimpinan Anwar ketika ini amat mencabar.

Peranan institusi diraja bukan sahaja disaksikan di peringkat nasional, malah keadaan yang sama jelas di peringkat negeri. Sultan beberapa negeri turut menzahirkan keseriusan dalam mengamalkan politik berhemah. Misalnya, dalam titah pada istiadat pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengingatkan supaya calon pilihan raya dan penyokong agar tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).

Baginda berpesan supaya setiap kempen pilihan raya dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

Di sebalik amalan sistem demokrasi berparlimen, Al-Sultan Abdullah telah memainkan agak unik dan berbeza dalam memastikan kompas politik negara senantiasa berada dalam keadaan harmoni demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Petikan titah baginda sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-15 pada Februari 2023 sudah pasti akan kekal segar dalam ingatan rakyat negara terutama dalam kalangan aktor-aktor politik. Baginda menzahirkan harapan supaya pentadbiran Anwar yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, pada 30 Januari ini.

Al-Sultan Abdullah yang berbicara daripada hati, menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan. Baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat perdana menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan, susulan kemelut politik berpanjangan sejak tiga tahun lalu.

Titah baginda: “Beta bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ke-7. Namun pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air, menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh. Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.”

Baginda seterusnya menzahirkan: “Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana menteri Malaysia yang kelapan juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021. Makanya, beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baharu. Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Ismail Sabri Yaakob telah memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.”

Malah menurut baginda, “secara ikhlas, beta berharap perdana menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.”

Pun begitu krisis politik berterusan sehingga ke hari ini. Ini termasuklah cakap-cakap mengenai usaha mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan, antara lain menerusi Langkah Dubai.

Pembentukan empat kerajaan dan pelantikan empat orang perdana menteri dalam lima tahun serta nasihat baginda untuk membentuk kerajaan perpaduan julung kali disaksikan di Malaysia.

Selain itu, pelantikan perdana menteri sementara dan siri titah nasihat agar ahli-ahli Parlimen mengambil satu nada menyokong belanjawan-belanjawan tahunan serta memanggil beberapa sesi perbincangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk mencari formula penyelesaian kepada isu-isu negara akan meninggalkan memori kukuh yang tersendiri dalam lipatan sejarah negara.

Dalam analisis makro, kesemua detik bersejarah itu turut membekalkan pengalaman dan pengajaran baharu yang penting dalam mencorak perjalanan masa depan negara. Ada banyak keunikan. Pada masa yang sama ada banyak perkara signifikan yang telah diselami rakyat.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 mulai 31 Januari. Peranan institusi raja berpengalaman kekal mempunyai peranan membina dalam menjamin keharmonian negara. – 22 Januari, 2024.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen