Mesej tersirat rombakan kabinet


Mohd Azizi Jaeh

Strategi Perdana Menteri Anwar memposisikan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebagai menteri luar bagi mengukuhkan lingkungannya bersama pimpinan tertinggi Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2023.

KEPUTUSAN Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyusun semula kabinetnya boleh dianggap langkah menyiapkan pasukan yang kuat bagi memasuki tahun kedua yang lebih mencabar.

Justeru, barisan kabinet Anwar perlu mengemukakan strategi kreatif ke arah dasar yang lebih segar dan progresif. Paling mustahak, dapat memperbaiki kelemahan dan menyelesaikan masalah dan rungutan orang ramai.

Sebagaimana yang dipolemikkan beberapa bulan lalu, beberapa bekas menteri dan golongan teknokrat dijangka mengisi jawatan kabinet.

Ternyata beberapa menteri yang diharapkan dibawa masuk, namun untuk melihat “senarai menteri harapan” diletakkan di kementerian tertentu tidak dapat dipenuhi kesemuanya.

Misalnya pandangan umum untuk perdana menteri meletakkan Johari Abdul Ghani sebagai menteri kewangan tidak berlaku.

Bagaimanapun Johari tetap dilantik memikul tugas menteri perladangan dan komoditi – sebuah kementerian yang kurang “panas” dan jarang diberikan perhatian umum.

Anwar menamakan tokoh berlatarkan bidang kewangan sebagai menteri kewangan kedua untuk membantunya mengendalikan dasar fiskal negara.

Meletakkan individu dari luar parti menyandang kedudukan menteri kewangan bukanlah sejarah baru kabinet Malaysia.

Nor Mohamed Yakcop dan Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah dua tokoh korporat yang pernah mengisi jawatan menteri kewangan ketika era pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Muhyiddin Yassin.

Rombakan yang berlaku sebenarnya hanya bersifat minor, bukan major namun ada beberapa perkara menarik di sebalik pelantikan menteri baru, pertukaran portfolio dan bidang tugas menteri yang mewakili parti masing-masing.

Daripada lima orang menteri baru dilantik, tiga daripadanya adalah bekas menteri (Johari, Dr Dzulkefly Ahmad dan Gobind Singh Deo), manakala seorang dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh (Steven Sim) dan seorang lagi diangkat mewakili golongan teknokrat (Amir Hamzah Azizan).

Atas sebab itu, Anwar mesti mengatur dan melakukan setting yang betul bagi membina rasa percaya, oleh kerana nasibnya cukup bergantung dengan sokongan parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

Maka dapat dirumuskan, rombakan struktur dalaman kabinet sebenarnya bertujuan mengekalkan status quo dan perjanjian awal semua ketua-ketua parti ketika mereka menubuhkan kerajaan perpaduan.

Faktanya, hanya seorang menteri digugurkan (tetapi digantikan dari parti yang sama), kebanyakan menteri hanya berpindah kementerian, malah kuota menteri yang diperuntukkan kepada setiap parti tidak terjejas.

Umno dan DAP masing-masing menambah keanggotaan jemaah menteri dari 6 kepada 7, sementara DAP meningkat dari 4 kepada 5. Bahkan beberapa menteri yang dianggap tidak menonjol dan kurang berprestasi terus dikekalkan biarpun mendapat kritikan hebat.

Pada satu segi, untuk Anwar memenuhi kriteria yang mewakili setiap parti, kaum, gender, generasi dan negeri dalam pembentukan kabinetnya bukan satu tugas yang mudah.

Apatah lagi untuk merealisasikan setiap negeri ada wakil menteri atau setidak-tidaknya timbalan menteri dilantik adalah mustahil dengan situasi politik di Pantai Timur dan negeri Utara Semenanjung yang dikuasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN).

Sejak awal kabinet dibentuk, negeri yang diperintah PN iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai langsung wakil menteri dan timbalan menteri. Kecuali Kedah yang mempunyai seorang wakil tunggal Saifuddin Nasution Ismail.

Kemenangan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di kawasan Pantai Barat Semenanjung meletakkan tumpuan ramai ahli Parlimen mereka mewakili negeri tersebut.

Contohnya, hampir separuh atau 15 orang daripada 31 jemaah menteri sekarang berasal dari kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Perlu diingatkan ini adalah kerajaan Persekutuan, perkhidmatan yang diberikan menteri perlu mencakupi semua negeri tanpa mengira sempadan geografi dan ideologi politik yang berbeza.

Oleh itu, konsep federalisme perlu dipatuhi.

Selain bertujuan mengukuhkan kepimpinan Anwar, penstrukturan kabinet secara tersurat dan tersirat juga merupakan satu bentuk penyusunan dan pengagihan kuasa antara anggota parti di dalamnya.

Jika diteliti, terdapat parti yang diberikan kementerian yang strategik, manakala ada parti diberikan kementerian yang kelihatan kurang strategik.

Penulis suka untuk melihat aspek hubungan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno kerana kedua parti dipimpin oleh orang nombor satu dan dua, selain Umno itu merupakan kunci jatuh bangunnya kerajaan perpaduan.

Tidak dinafikan posisi Anwar sebagai ketua kerajaan membuatkan PKR memiliki kelebihan. Biarpun Umno dan PKR memiliki bilangan menteri yang sama iaitu 7 orang, menteri mewakili PKR kelihatan menguasai bidang atau kluster seperti kewangan, ekonomi, pendidikan dan dalam negeri.

Kesemua bidang yang disebutkan itu memiliki peruntukan kewangan yang besar dan sering bersentuhan rapat dengan rakyat kebanyakan.

Berbanding menteri Umno, kementerian yang disandang mereka dianggap kurang strategik (kecuali Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui Zahid Hamidi yang selalu bersentuhan dekat dengan ramai penduduk luar bandar).

Strategik di sini bermaksud kementerian yang mendapat liputan meluas, memiliki dana besar dan berperanan paling kanan menentukan polisi sosioekonomi negara sebagai contoh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan.

Namun, bukanlah maksud penulis untuk memperkecilkan bidang dan peranan menteri Umno yang hanya memegang kementerian yang kurang berprofil tinggi, tetapi ini merupakan bentuk pembahagian dan perimbangan kuasa yang dilakukan Anwar berdasarkan rasional jumlah ahli Parlimen.

PKR dan PH memiliki 82 kerusi membolehkan mereka mempunyai kelebihan berbanding Umno dan BN hanya mempunyai 30 kerusi.

Perlu dijelaskan juga, semua kementerian atau menteri adalah penting untuk melancarkan pentadbiran negara. Cumanya setiap darinya akan mempunyai bidang tugas, fungsi dan beban yang berbeza.

Dalam isu pertukaran portfolio di kalangan menteri Umno, adalah tidak tepat untuk mengatakan langkah meletakkan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebagai menteri luar, usaha untuk menyekat pengaruhnya dalam parti itu dan sekali gus akan dapat mengukuhkan kedudukan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Penulis berpandangan, strategi Anwar memposisikan Tok Mat bagi mengukuhkan lingkungannya bersama pimpinan tertinggi Umno.

Menteri Luar adalah antara menteri yang mempunyai banyak masa berdamping dengan perdana menteri ke luar negara.

Kelebihan dan tumpuan perdana menteri terhadap bidang hubungan antarabangsa memerlukan tokoh kanan Umno yang berkebolehan untuk membantunya.

Sejarah juga memaparkan Abdullah pernah menjawat kedudukan menteri luar dan akhirnya berjaya menjadi perdana menteri.

Walaupun ada pandangan yang menyifatkan kedudukan Tok Mat merupakan strategi Anwar untuk melemah, mengawal dan mengepung Umno secara halus – sementara Umno ketika ini dalam kondisi yang lemah, membuatkan mereka tiada pilihan dan mungkin terpaksa menerima jawatan yang diberikan.

Jika hendak memposisikan dirinya sebagai negarawan, Anwar mungkin perlu menghayati sebuah ungkapan menarik bekas presiden Amerika Syarikat Harry Truman: “a leader is a man who has the ability to get other people to do what they don’t want to do and like it” (pemimpin adalah seorang yang mempunyai kebolehan untuk membuat orang lain melakukan apa yang mereka tidak mahu lakukan dan menyukainya).

Suka atau tidak, rombakan kabinet ini bukanlah rombakan terakhir daripada Anwar. Masa masih panjang untuk sampai ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Apa-apa sahaja dalam politik boleh terjadi pada hubungan Anwar dan Umno. – 17 Disember, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen