Wakil rakyat perlu profesional, berintegriti tinggi


G Manimaran

LANDSKAP politik negara terus bergelora. Dua minggu pertama habis dan diluangkan hanya kerana Langkah Dubai. Cerita mengenai ‘langkah’ terbaharu itu masih kedengaran. Bukan sahaja terus mengisi ruang media massa, malah di setiap lapisan kehidupan kita, terutama mereka yang meminati dan mengikuti dengan dekat politik negara.

Nampaknya belum ada noktah. Cerita mengenai Langkah Dubai terus diberi nyawa menerusi pelbagai sudut.

Terbaharu, cadangan supaya pihak pembangkang atau mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai angka membawa usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat. Perkara itu diketengahkan oleh perdana menteri sendiri dan dikukuhkan oleh speaker Dewan Rakyat. 

Keduanya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu agar satu undang-undang khusus perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal. Menurut beliau, dengan undang-undang itu jika diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pula dipetik berkata usaha penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh kerajaan perpaduan bukan satu langkah terdesak. Namun, katanya ia mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Akta Parlimen Berpenggal Tetap menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya sambil menambah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci bagi pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap termasuk kajian impak selain mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta itu. 

“Jadinya, pada tahun ini, BHEUU akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, supaya kajian menyeluruh ini akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet,” kata beliau.

Idea mengenainya juga diketengahkan oleh saintis politik Profesor Wong Chin Huat dalam sesi bicara politik dalam saluran Astro Awani minggu lalu. Saya turut diundang sebagai salah seorang daripada tiga ahli panel. Malah idea yang sama pernah dikemukakan oleh Bersih 2.0. 

Selain itu juga diutarakan saranan supaya disediakan peruntukan yang saksama untuk kesemua ahli Parlimen tanpa mengira parti, yang difikirkan akan membantu mengurangkan cakap-cakap tumbang kerajaan.

Undang-undang berkaitan penggal tetap kerajaan merupakan antara dua perkara penting yang dirasakan perlu dilaksanakan pada hari ini. 

Satu lagi ialah keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan dengan larangan melompat parti yang masih mempunyai kelemahan besar dalam mengekang tindak-tanduk keluar-masuk parti, dan boleh menjamin ketidakstabilan politik, aspek yang amat diharapkan selepas berakhirnya PRU15, yang berlangsung 15 bulan yang lalu. 

Undang-undang antilompat parti yang diluluskan dengan sokongan kesemua parti dan secara sebulat suara pada pertengahan 2022, kira-kira empat bulan sebelum PRU15, masih belum dapat menangani perbuatan menyokong mana-mana parti dan gabungan lain secara langsung atau secara tidak langsung. 

Kekurangan yang diperkatakan dan wujud pada hari ini sudah dijangkakan. Saya secara peribadi telah menjangkakan situasi sukar itu bakal kita saksikan selepas PRU15. 

Apabila undang-undang berkenaan diluluskan, seorang wartawan yang menghubungi saya untuk mendapatkan ulasan sama ada undang-undang baharu akan meletakkan noktah bagi mengakhiri perbuatan melompat parti. Ketika itu saya berpandangan bahawa undang-undang baharu itu tidak mampu dan tidak boleh seratus peratus mengakhiri perbuatan melompat parti. 

Saya telah berkongsi dua keadaan yang boleh dan akan wujud, yang secara langsung bakal menggambarkan bahawa undang-undang yang berkaitan tidaklah selengkap yang diharapkan dan ada kecacatan tersendiri. Malah perkara itu sendiri telah diakui oleh Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kini speaker Dewan Negara dan mantan menteri yang bertanggungjawab menguruskan penggubalan undang-undang itu, pada tahun lalu. 

Peruntukan dan tindakan beberapa wakil rakyat, yang disifatkan sebagai melompat parti dan membelakangkan mandat parti untuk bertanding dalam PRU15, telah difailkan di mahkamah. Saya percaya akan ada banyak lagi yang bakal berakhir dengan tindakan mencabar di institusi keadilan.

Mengambil kira siri kemelut politik yang akan lengkap lima tahun pertengahan tahun ini, iaitu selepas PRU14 pada 2018, saya berpandangan kita perlu mengambil satu pendekatan yang holistik untuk membawa wajah baharu ke atas kerangka perundangan, bukan sahaja pilihan raya tetapi juga politik tempatan. 

Satu pembaharuan dan reformasi yang komprehensif sangat diperlukan. Kita tidak boleh menggunakan prinsip ‘touch n’go’ dalam menggubal atau meminda undang-undang yang diperlukan. 

Undang-undang semasa mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan, merangkumi kesemua aspek penyertaan dan penglibatan secara aktif, membina dan signifikan. Peruntukan baharu bukan sahaja diperlukan untuk aktor politik mengambil bahagian aktiviti politik dan pilihan raya, tetapi mengamalkan prinsip demokrasi dengan jujur dan ikhlas, selain memperlihatkan profesionalisme dan budaya berintegriti yang tinggi. 

Wakil rakyat dipilih oleh rakyat. Maka, mereka tidak wajar mengabaikan prinsip demokrasi untuk berkhidmat dengan baik, sama ada anggota parti yang memerintah mahupun sebagai pembangkang.

Kita ada wakil rakyat. Cukup banyak bilangan mereka. Malangnya kita masih kekurangan wakil rakyat yang berkarisma sebagai anggota dewan perundangan atau legislator yang konstruktif. 

Kita memerlukan anggota dewan perundangan yang mempunyai literasi pilihan raya dan politik yang amat tinggi. Bukan setakat memenangi pilihan raya, tetapi semangat memenuhi pengisian sebagai wakil rakyat yang ada kelas tersendiri.

Literasi wakil rakyat juga perlu tinggi dalam memartabatkan institusi Parlimen dan kerajaan. Mereka perlu konstruktif. Kalau undang-undang yang boleh membetulkan keadaan, sila lakukan apa yang sepatutnya. Nampaknya di negara kita hanya undang-undang yang boleh membetulkan keadaan, bukannya tanggungjawab kendiri sebagai anggota dewan perundangan. 

Anjurkan pembaharuan yang holistik - undang-undang politik dan pilihan raya - untuk memartabatkan dewan perundangan dan anggotanya. Apa pun undang-undang yang kita ada sekarang dan bakal digubal atau dipinda, negara memerlukan barisan legislator yang profesional, yang ada kelas tersendiri dan berintegriti tinggi. – 15 Januari, 2024.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen