Undang-undang antilompat parti bakal teruji?


G Manimaran

DALAM satu tulisan di Facebook, Timbalan Speaker Dewan Negara, Nur Jazlan Mohamed mencetuskan satu perkara menarik: “.. buat masa sekarang ini saya percaya Kerajaan Perpaduan masih selamat kerana adanya akta antilompat parti. Tapi tak tahulah kalau ada MP (Ahli Parlimen) Umno yang sanggup nak letak jawatan dan cetuskan (pilihan raya kecil) PRK lagi. Sebab jenis desperado politik ini, mereka sanggup buat apa saja demi nak penuhi hawa nafsu untuk berkuasa.”

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu tidak merujuk secara khusus kumpulan wakil rakyat yang bakal menggerakkan usaha yang diramalkan itu. Pun begitu dalam lingkungan politik negara khususnya di dalam Umno, ia bukan satu rahsia besar.

Kedudukan dan pendirian mereka yang melawan arus kepimpinan tertinggi semasa kekal sebagai satu perkara menarik untuk dihalusi. Mereka dikatakan sedang menunggu masa yang sesuai. Andaian dan tanggapan sebelum ini terarah kepada hasil pilihan raya negeri (PRN) yang baharu berakhir. Dan, Nur Jazlan mengutarakan kemungkinan tersebut.

Sekali lagi bila akan menjadi kenyataan, sekali gus bakal menggugat kerajaan perpaduan yang BN dan Umno merupakan sebahagian daripada blok semasa.

Terdapat juga jangkaan, ramalan dan andaian sekiranya Umno tidak mencapai keputusan yang diharapkan atau prestasinya merudum, ia akan membawa impak ke atas kepimpinan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berhadapan dengan tekanan agar berundur. Beliau juga secara terbuka telah mengatakan bahawa menerima tanggungjawab ke atas prestasi buruk parti itu. Bagaimanapun tegas beliau, ia tidak bermakna beliau akan melepaskan jawatannya.

“Saya sedar ada pihak desak untuk saya berundur tetapi apa yang saya boleh berikrar ialah, saya dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Kami akan meneliti segala pendekatan dan strategi baharu supaya boleh memenangi hati dan minda pengundi sekali lagi,” kata beliau.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dalam temu bual dengan The Star semalam menekankan bahawa seluruh kepimpinan Umno harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu.

Kata beliau, Zahid bukannya satu-satunya individu yang harus dipersalahkan.

“Jadi saya meletakkan semua kesalahan kepada kepimpinan parti. Jika kamu mahu seseorang disingkirkan, seluruh kepimpinan perlu disingkirkan, dan kita mesti rombak parti,” kata beliau yang pada Mei lalu dilantik sebagai penasihat Umno.

Bertolak daripada itu cakap-cakap mengenai nasib kerajaan pusat semasa terus kedengaran. Malah, ia menjadi salah satu bahan kempen parti lawan yang menyasarkan blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh calon-calon Umno. MCA dan MIC, dua lagi komponen BN di Semenanjung mengambil pendirian untuk lihat dari luar gelanggang pilihan raya. Mereka memutuskan untuk tidak bertanding kerana kecewa apabila tidak dibawa ke proses perundingan kerusi.

Malah tular klip video di media sosial mendakwa sudah ada usaha untuk menggerakkan Langkah Sheraton 2.0 selepas PRN enam negeri. Apakah langkah politik yang disaksikan pada akhir Februari 2020 bakal berulang?

Atas kertas kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim kekal kukuh dengan asas politik majoriti dua pertiga yang diperlukan, dan telah dihimpunkan.

Parlimen akan kembali bersidang pada bulan depan. Dewan Rakyat dari 11 hingga 19 September manakala Dewan Negara dari 20 hingga 26 September sebelum meneruskan sidang sesi belanjawan pada bulan berikutnya, sehingga pertengahan Disember.

Bulan lepas genap setahun peruntukan berkaitan larangan lompat parti diperkenalkan. Undang-undang itu sedang diuji dengan tindakan empat anggota Dewan Rakyat, dari Sabah, yang memutuskan untuk keluar Bersatu sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul memutuskan kedudukan Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) kekal dan tidak berlaku kekosongan kerusi yang dimenangi mereka atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Tidak berlaku kekosongan kerusi mengikut Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan. Bersatu memutuskan untuk isu tersebut ke mahkamah atas alasan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf dalam keputusannya.

Undang-undang semasa masih mempunyai kelemahan dan kekurangan. Jika tidak ditangani dengan cermat boleh membuka ruang kepada kemungkinan jatuh atau tumbangnya kerajaan semasa.

Proses ke arah itu mungkin rumit dan panjang, tetapi ia boleh membawa kepada nasib kerajaan yang dialami pada Februari 2020 muncul semula. Atau keadaan yang hampir sama yang pernah disaksikan iaitu di Sabah pada tahun 1994 dan Perak pada tahun 2009 kembali berulang, iaitu perubahan kerajaan.

Bersandarkan kepada cakap-cakap ketika kempen pilihan raya, antaranya pemimpin Perikatan Nasional (PN) berulang kali telah mengatakan bahawa terdapat pelbagai cara untuk menumbangkan kerajaan pusat hari ini pimpinan Anwar.

Apakah meletakkan jawatan beramai-ramai antara salah satu kaedah dan pendekatan yang bakal digunakan untuk memotong akar sokongan kerajaan perpaduan?

Kemungkinan itu tidak boleh dinafikan. Tidak boleh dipandang mudah. Tidak boleh diketepikan. Undang-undang tidak melarang tindakan seumpama itu.

Peruntukan semasa tidak melarang mana-mana wakil rakyat yang melepaskan kedudukan mereka sebagai anggota dewan perundangan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) daripada bertanding semula.

Sebelum Julai 2022 ada peruntukan yang melarang mereka yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun. Peruntukan itu telah digugurkan, dan ia boleh menjadi punca kepada tindakan menggugat kerajaan pada hari ini.

Sebab itu saya seringkali mengatakan bahawa pindaan Julai 2022 membawa negara satu langkah ke depan, dan dua langkah ke belakang. Ada kelebihan, ada kelemahan yang boleh menggugat amalan demokrasi, sekali gus mengecewakan rakyat.

Bermakna melepaskan jawatan dan bertanding semula untuk menguji kekuatan di kerusi masing-masing. Sama ada mereka menjadi calon proksi atau bertanding di bawah tiket mana-mana parti yang mereka sokong atau mereka disokong.

Ruang ke arah itu jelas pada hari ketika negara berhadapan dengan landskap politik yang berbeza berbanding setahun yang lalu.

Peruntukan yang digubal untuk melarang dan mengekang perbuatan melompat parti kini berhadapan dengan kemungkinan teruji dan diuji untuk menunjukkan populariti seseorang ataupun sekumpulan pemimpin. Keadaan itu bakal terjadi dalam waktu terdekat.

Masih ada masa untuk mengelakkan kemungkinan itu daripada berlaku meskipun agar rumit dan sukar.

Kerajaan perlu mengutamakan untuk memperbaiki kelemahan undang-undang semasa untuk dibawa ke Parlimen pada sesi terdekat akan datang. – 21 Ogos, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen