DUN Pulau Pinang lulus usul, 4 Adun Bersatu diarah keluar dewan


Pada November 2012, DUN Pulau Pinang meluluskan pindaan ke atas perlembagaan negeri bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan Adun, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada PRUditumbangkan secara tidak demokrasi. – Gambar Facebook, 6 Mac, 2023.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi yang disandang empat wakil rakyat Bersatu, lapor media.

Empat Adun itu – Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang), dan Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) – kemudian diarah keluar dewan.

Usul dikemukakan Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (PH- Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (PH-Datuk Keramat) dan mendapat sokongan majoriti anggota dewan.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan perintah injuksi empat Adun berkenaan untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi mereka sehingga rayuan diselesaikan.

Mereka diminta mengosongkan kerusi selepas Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Empat Adun itu sebelum ini mengemukakan saman mencabar usul yang dikemukakan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi mengikut peruntukan perlembagaan negeri.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Disember 2020 memutuskan peruntukan antilompat parti yang digubal di Pulau Pinang adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada November 2012, DUN Pulau Pinang meluluskan pindaan ke atas perlembagaan negeri bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan Adun, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokrasi.

Seksyen 14(A)(1) yang dipinda menyatakan Adun yang melompat parti perlu mengosongkan kerusinya jika, selepas dipilih sebagai calon sebuah parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat atau diberhentikan atas sebarang alasan bagi apa jua sebab untuk menjadi ahli parti itu.

Ia juga terpakai ke atas Adun bebas yang kemudian menyertai parti politik.

Pindaan itu dibuat sebelum peruntukan undang-undang sama digubal di peringkat Persekutuan melalui pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, yang berkuat kuasa pada Oktober 2022

Empat Adun berkenaan bertanding atas tiket PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Khalid dan Zolkifly adalah ahli Bersatu sementara Zulkifli dan Afif ahli PKR yang kemudian menyertai Bersatu pada 2020 selepas Langkah Sheraton.

Zulkifli masuk Bersatu selepas dipecat daripada PKR manakala Afif masuk Bersatu selepas keluar parti apabila PKR menggantung keahliannya.

Mereka menegaskan tidak pernah lompat parti dan menyifatkan keputusan DUN Pulau Pinang hari ini sebagai salah guna proses dan menyalahi undang-undang. – 6 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen