Zionis Israel diheret ke mahkamah dunia


Hishamuddin Rais

Jumlah warga Gaza yang tewas dan gugur dalam perang Gaza yang bermula pada Sabtu 7 Oktober 2023 melepasi lebih 22,000 orang. – Gambar AFP, 12 Januari, 2024.

PERANG Gaza atau Nakba 2 yang bermula pada Sabtu 7 Oktober 2023 sedang berjalan. Tulisan ini digarap pada Rabu 10 Januari 2024 – hari ke-95 Perang Gaza. Jumlah warga Gaza yang tewas dan gugur telah melintasi lebih 22,000. Al-Fatihah.

Dunia diberitahu majoriti yang gugur adalah wanita dan kanak-kanak. Amin

Pada hari ke-96, pada Khamis 11 dan Jumaat 12 Januari 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengadakan perbicaraan awam di Istana Keamanan di The Hague Belanda. Prosiding ini dimulakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel pada 29 Disember 2023.

Negara Afrika Selatan mendakwa Zionis Israel melakukan genosid terhadap warga Gaza dan Palestin.

Kertas tuduhan 84 muka surat dari Afrika Selatan membuktikan Israel telah melanggar Konvensyen Genosid 1948, yang dibuat selepas Perang Dunia Kedua.

Israel dan Afrika Selatan adalah penandatangan Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). PBB memberikan ICJ – badan perundangan PBB tertinggi – bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian mengenai perjanjian itu.

Semua negara yang menandatangani konvensyen itu diwajibkan untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai dan juga mencegah dan menghukumnya jika berlaku.

Perjanjian itu mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai sebagai “tindakan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama”.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa terdiri daripada 15 hakim yang dipilih untuk memegang jawatan hakim selama sembilan tahun.

Mereka dipilih oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan.

Mana-mana negara yang telah menandatangani konvensyen ini berhak untuk membuka prosiding. Contohnya Gambia dari Afrika telah membawa prosiding terhadap genosid yang dilakukan oleh Myanmar.

Pada 11 November 2019, Gambia, bagi pihak 57 anggota Pertubuhan Konferensi Islam (OIC), memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendakwa Myanmar gagal memenuhi kewajipannya untuk mencegah dan menghukum tindakan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di negeri Rakhine, seperti yang dikehendaki di bawah Konvensyen Genosid.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berbeza dengan International Criminal Court (ICC) – Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

ICJ mendakwa negara manakala ICC mendakwa individu yang melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Contohnya individu bernama Ahmad Al-Bashir Presiden Sudan. Waran tangkap keluar pada 12 Julai 2010. Hingga ke hari ini masih belum ditangkap.

Afrika Selatan yang mengheret Zionis Israel ke hadapan mahkamah adalah langkah yang tepat. Dalam masa yang sama menggembirakan dan memeranjatkan dunia.

Selama 75 tahun tindak-tanduk dan tingkah-laku Zionis Israel telah mendapat tentangan dan kritikan dunia. Berpuluh-ratus resolusi dan ketetapan PBB yang menyelar , melarang dan mengutuk Israel telah diluluskan.

Zionis Israel tidak ambil pot. Israel tidak peduli pandangan rakyat sedunia.

November 2023 bukan kali pertama rumah kediaman orang awam dibom. Bukan kali pertama masjid dan gereja dibom. Bukan kali pertama hospital dan sekolah dibom.

Semenjak 7 November 2023 seramai 79 wartawan dan pekerja media disahkan meninggal dunia. Seramai 72 warga Palestin, empat warga Israel dan tiga warga Lebanon dan 16 wartawan dilaporkan cedera.

Bila hospital dibom orang sakit mati. Doktor dan jururawat mati sama. Bila masjid dibom imam dan makmum mati. Bila sekolah dibom cikgu dan murid mati. Bila rumah dibom emak, abah dan anak mati.

Inilah isi 84 muka surat yang diajukan oleh Afrika Selatan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Fakta bom dan fakta kematian bersama kenyataan rasmi dari Netanyahu, dari menteri kabinet Israel dan kenyataan ketua tentera Israel menjadi bahan bukti.

Peguam dari Afrika Selatan akan membuktikan wujud satu perancangan yang diatur jelas untuk membunuh rakyat Palestin. Usaha politik dan tentera untuk melakukan genosid.

Kenapa segala keganasan, segala kejahatan yang dilakukan oleh Zionis Israel ini tidak dapat dibendung dan dihentikan.

Jawabnya, seperti kata Ayatollah Khomenei: Amerika ialah Setan Akhbar. Di belakang Israel ialah kuasa imperialis Amerika Syarikat. Tanpa Amerika, Zionis Israel telah lama lungkup.

Kekuatan dan keangkuhan Zionis Israel lahir kerana kaum Zionis tahu bahawa Amerika akan terus memberi sokongan kepada Israel.

Sekali lagi dinyatakan di sini bahawa Israel ialah pangkalan tentera Amerika. Israel ialah negara pendatang – settler state. Kaum Yahudi adalah pendatang  dan menjajah bumi Palestin.

Amerika, Australia, Kanada, New Zealand dan Singapura adalah contoh negara pendatang. Pendatang yang bukan warga asli – bukan anak watan kini menguasai bumi tersebut.

Amerika Syarikat memberi bantuan geran kepada Israel sebanyak AS$3 bilion setiap tahun dan melaksanakan perjanjian perdagangan bebas pada tahun 1985. Sejak itu semua duti kastam antara dua rakan dagang telah dihapuskan.

Selepas 7 Oktober 2023 Amerika mula menghantar kapal perang dan pesawat tentera ke Mediterranean Timur dan membekalkan Israel dengan peluru dan peralatan ketenteraan.

Amerika menyatakan bahawa Israel akan menerima “apa sahaja yang diperlukan” untuk menyokong serangan balas terhadap Hamas. Amerika juga menjanjikan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada Israel.

Pada 20 Oktober 2023, Presiden Biden mengumumkan bahawa beliau telah meminta bantuan tambahan AS$14 bilion untuk Israel kepada Kongres.

Fakta sejarah menunjukkan sejak penubuhan Israel pada 1948, Israel telah menerima AS$158 bilion bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat. Israel adalah penerima terbesar dana Amerika dalam sejarah.

Sah dan sahih Setan Akhbar bernama Amerika di belakang Zionis Israel.

Malah seperti di Ukraine, diberitakan bahawa soldadu Amerika ada turut sama dalam kancah perang.

Mereka bukanlah soldadu biasa yang mengangkat M16 dan mencari gerila Al-Qassam.

Soldadu Amerika yang dikatakan berada di Gaza terdiri dari pegawai penasihat strategik ketenteraan. Soldadu bahagian intel teknologi siber.

Malah perang ini menjadikan sekolah dan kuliah untuk Amerika. Segala taktik dan teknik perang sedang diteliti. Senjata buatan Hamas, buatan Rusia, China atau Korea Utara sedang menjadi bahan kajian.

Soldadu Amerika pasti membuat kaji selidik tentang keupayaan dron buatan Iran.

Tetapi kenapa negara kafir Afrika Selatan yang membawa prosiding ini ke Mahkamah Dunia. Kenapa negara Arab seperti Arab Saudi atau Mesir tidak mengajukan prosiding ini.

Jawabnya senang sahaja: Negara seperti Mesir atau Saudi Arabia sudah masuk dalam saku Zionis Israel. Malah paling terkini negara Arab telah diperangkap oleh Amerika dengan Abraham Accords.

Abraham Accords ialah perjanjian dua hala mengenai normalisasi Arab-Israel yang ditandatangani antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain pada 15 September 2020.

Abraham Accords sama seperti Perjanjian Camp David atau Perjanjian Oslo didalangi oleh Amerika Syarikat.

Dilaporkan Arab Saudi juga akan menyertai Abraham Accords ini.

Afrika Selatan dan Israel memiliki hubungan sejarah yang lama dan intim. Ketika Afrika Selatan di bawah rejim Aparteid Kulit Putih, hubungan dengan Zionis Israel cukup baik. Dua negara saling bantu membantu.

Ketika ini Nelson Mandela dalam penjara. Gerakan gerila ANC (Afrikan National Congress) dipanggil uMkhonto we Sizwe sedang angkat senjata melawan rejim Kulit Putih. Ketika berjuang ini gerila ANC telah menjalin hubungan amat rapat dengan kumpulan gerila dari Palestin dan PLO.

Setelah rejim Aparteid runtuh dan Afrika Selatan menjadi negara baru Nelson Mandela berkata: “Kebebasan kita tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin”.

Ini petikan ucapan Nelson Mandela yang dibuatnya semasa Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, di Pretoria, Afrika Selatan, pada 4 Disember 1997.

Justeru apa yang sedang dilakukan oleh negara Afrika Selatan pada 11 Januari 2024 adalah meneruskan kembali perjuangan antirasisme aparteid. Dulu di Afrika Selatan hari ini di Palestin.

Apa jawapan Zionis Israel atas langkah yang diambil oleh Afrika Selatan?

“Tidak, Afrika Selatan, bukan kami yang datang untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, tetapi Hamas,” jawapan Netanyahu bila berita Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah di umum.

Kaum Zionis bukan sahaja menafikan apa yang mereka lakukan itu adalah genosid malah terus menuduh Afrika Selatan menjadi barua Hamas.

Di laman X milik resmi soldadu Israel terpapar: “@idfonline sedang menghapuskan Nazi Muslim,” Ini apa yang ditulis oleh Timbalan Datuk Bandar Baitulmaqdis Arieh King di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

“Mereka bukan manusia dan bukan haiwan manusia,” Datuk Bandar ini terus berkata. “Mereka tidak berperikemanusiaan dan begitulah cara mereka harus diperlakukan.”

Dengar dan baca apa pula kata-kata Gaza Ayelet Shaked, bekas menteri kehakiman Israel. Dia telah membuat kenyataan provokatif mengenai masa depan Semenanjung Gaza, khususnya Khan Younis ibu kota Gaza.

Dia hendak menjadikan Khan Younis padang bola sepak dengan ‘bantuan Tuhan dan tentera Israel’.

Semua kenyataan seperti ini akan menjadi bahan bukti di Mahkamah Antarabangsa.

Setan Akhbar terus memperlekehkan tindakan Afrika Selatan.

Pentadbiran Biden mengkritik Afrika Selatan kerana memfailkan kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague..

“Kami mendapati penyerahan ini tidak berbaloi, tidak produktif, sama sekali tanpa sebarang asas sebenarnya,” kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika, John Kirby pada sidang media pada hari Rabu 3 Januari 2024.

Awas dan waspada Amerika juga boleh diheret sama. Amerika boleh dituduh bersubahat dengan Zionis Israel. Amerika pemberi senjata dan pembekal bom yang membunuh mati warga Palestin.

Perbicaraan ini akan mengambil masa. Hakim boleh bertanya dan menyoal wakil pendakwa dan pihak yang dituduh.

Sementara 15 Hakim mendengar penghujahan Afrika Selatan dan penafian, Zionis Israel ada masa terluang.

Masa ini – pada harapan Afrika Selatan dan harapan orang ramai – tuan hakim akan mengeluarkan injunksi mahkamah agar gencatan senjata di lakukan.

Arahan mahkamah ini akan menghentikan perang untuk sementara ketika kes dibicarakan. Apakah ini akan berlaku? Apakah jika injunksi dibuat Zionis Israel akan patuh. Kita belum tahu. Amin.

Afrika Selatan telah menyusun satu pasukan “peguam antarabangsa kelas pertama.”

Menurut laporan media, pasukan itu akan diketuai oleh John Dugard, bekas pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin.

Dugard, yang dilihat sebagai salah seorang pakar undang-undang antarabangsa terkemuka di Afrika Selatan, mempunyai pengalaman dengan ICJ, setelah berkhidmat sebagai hakim ad hoc pada tahun 2008.

Manakala Israel telah memilih peguam British Malcolm Shaw untuk mewakilinya di ICJ.

Shaw dianggap sebagai salah seorang pakar terkemuka dunia dalam undang-undang antarabangsa dan pernah hadir di hadapan ICJ pada masa lalu.

Kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda. Amin. – 12 Januari, 2024.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen