Belia Palestin bantu bersih kompleks perubatan Al-Shifa


Serangan Israel yang menyasarkan Kompleks Perubatan Al-Shifa menyebabkan setiap kemudahan termasuk peranti dan peralatan rosak. – Gambar EPA, 27 November, 2023.

GOLONGAN belia Palestin semalam melancarkan inisiatif membersihkan Kompleks Perubatan Al-Shifa secara sukarela dan memulakan sebahagian operasinya dengan menyediakan perkhidmatan dialisis buah pinggang.

“Hospital itu mengalami kerosakan, inisiatif itu bertujuan membersihkan dan mensteril peralatan bagi membolehkan hospital itu beroperasi semula terutama perkhidmatan dialisis,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Ketua Pengarah Hal Ehwal Pentadbiran Kementerian Kesihatan Gaza Mahmoud Hammad.

Hammad berkata nyawa pesakit buah pinggang akan terancam jika mereka tidak menjalani dialisis.

Serangan yang menyasarkan Kompleks Perubatan Al-Shifa menyebabkan setiap kemudahan termasuk peranti dan peralatan rosak.

Dalam perkembangan lain Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaklumkan 100 trak bantuan yang mengandungi makanan, air, susu formula dan selimut memasuki wilayah utara Semenanjung Gaza pada Ahad.

Terdahulu semalam PRCS turut mengumumkan penghantaran satu lagi konvoi bantuan terdiri daripada 50 trak dari Rafah menuju ke Bandaraya Gaza dan ke kawasan utara.

Konvoi terbabit sarat dengan bantuan dan bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan bekalan kecemasan.

Jeda kemanusiaan selama empat hari di bawah pengantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Jumaat menghentikan sementara serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza. – Bernama, 27 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen