Penunjuk perasaan banjiri New York desak gencatan senjata di Gaza


Ribuan orang menyertai perarakan membantah perang di Gaza di New York City. Mereka membawa ratusan patung kecil yang mewakili sebahagian daripada ribuan kanak-kanak yang terbunuh di Gaza akibat konflik berterusan dengan Israel. – Gambar AFP, 29 Disember, 2023.

RIBUAN penunjuk perasaan pro-Palestin turun ke jalan-jalan di New York pada Khamis, melakukan “perarakan jenazah” dalam demonstrasi menentang pengeboman berterusan Israel terhadap Gaza.

Sambil memegang sepanduk menuntut gencatan senjata segera, para aktivis berkumpul di Taman Bryant Manhattan manakala beberapa orang berdiri di tengah-tengah Sixth Avenue yang sibuk di daerah Midtown New York.

Beberapa wanita berpakaian serba hitam membawa anak patung bayi yang dibalut dengan kain putih sebagai simbolik kanak-kanak yang menjadi korban dalam pertempuran itu.

“Perarakan jenazah” menuju ke Times Square dengan protes dipaparkan pada iklan elektronik gergasi sebagai latar belakang.

“Tindakan hari ini adalah untuk memberi perhatian mengenai fakta bahawa setakat ini, hampir 10,000 kanak-kanak, hanya kanak-kanak dan tidak termasuk semua orang, tidak termasuk semua rakyat Palestin, telah dibunuh… di Gaza,” kata arkivis Grace Lile, 64.

Peperangan yang bermula pada 7 Oktober memusnahkan sebahagian besar utara Gaza, dan pengeboman serta pertempuran semakin rancak terutamanya di bandar selatan Khan Yunis.

Pengeboman udara tanpa henti Israel dan pencerobohan darat membunuh sekurang-kurangnya 21,320 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

New York City menyaksikan puluhan protes sejak serangan 7 Oktober dan tindak balas tentera Israel, dengan penunjuk perasaan pro-Palestin dan pro-Israel turun ke jalanan. – AFP, 29 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen