SERANGAN Israel pada Selasa membunuh Saleh al-Aruri, timbalan ketua pergerakan Hamas, di selatan Beirut kubu kuat sekutu Hamas Hizbullah, menurut dua pegawai rasmi.
Hamas kemudian mengesahkan kematian Aruri, yang menurut media negara Lubnan susulan serangan dron Israel yang mengorbankan sejumlah enam orang.
Serangan itu menandakan kemuncak perang hampir tiga bulan di Gaza antara Hamas dan Israel. Aruri, seorang ahli strategi ketenteraan utama Hamas, adalah pegawai kanan pertama pergerakan itu yang terbunuh semasa perang, dan kematiannya berlaku dalam serangan pertama ke atas ibu negara Lubnan sejak peperangan bermula.
Berlaku berbalas tembakan rentas sempadan di selatan Lubnan antara tentera Israel dan Hizbullah.
Ditanya mengenai serangan Beirut, tentera Israel berkata ia “tidak mengulas mengenai laporan media asing.”
Seorang pegawai keselamatan peringkat tertinggi di Lubnan memberitahu AFP yang Aruri terbunuh bersama pengawal peribadinya.
Seorang lagi pegawai keselamatan mengesahkan maklumat yang sama, sambil menambah dua tingkat bangunan disasarkan dan sebuah kereta rosak.
Hamas kemudian mengesahkan kematian itu di saluran TV rasminya, mengatakan Aruri terbunuh dalam serangan Zionis.
Media pergerakan itu berkata, serangan itu membunuh dua lagi anggota sayap bersenjatanya.
Seorang pegawai keselamatan Lubnan memberitahu AFP Samir Fandi, seorang lagi pegawai Hamas juga antara yang maut.
Media negara Lubnan berkata satu dron Israel menyasarkan pejabat Hamas di Al-Musharrafiya, di pinggir selatan Beirut, tempat kumpulan Palestin bertemu, kata Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Seorang jurugambar AFP berkata dua tingkat bangunan itu, di jalan yang sibuk, diletupkan yang mengakibatkan serpihan terpelanting sejauh sehingga kira-kira 10 0meter.
Aruri dituduh oleh Israel mendalangi pelbagai serangan.
Beliau dilantik sebagai timbalan kepada ketua Hamas Ismail Haniyeh pada 2017, sebelum secara rasmi dinamakan individu nombor dua kumpulan itu.
Selepas menghabiskan hampir dua dekad di penjara Israel, Aruri dibebaskan pada 2010 dengan syarat berada dalam buangan.
Pegawai kanan Hamas Izzat al-Rishq berkata dalam satu kenyataan bahawa pembunuhan Aruri tidak akan melemahkan penentangan di Gaza dan membuktikan sekali lagi kegagalan matlamat Israel di sana.
Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengecam pembunuhan itu yang katanya “bertujuan menarik Lubnan” lebih jauh ke dalam perang Israel-Hamas, menurut satu kenyataan dari pejabatnya. – AFP, 3 Januari, 2024.
Komen