TENTERA Israel menjatuhkan risalah di beberapa kawasan di selatan Lubnan pada Jumaat yang mengarahkan supaya penduduk tempatan tidak membantu pejuang Hizbullah dalam peperangan Israel-Hamas.
Sejak perang bermula pada 7 Oktober, sempadan antara Lubnan dan Israel telah menyaksikan pertempuran sengit, terutamanya antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran.
“Awal pagi Jumaat, sebuah dron menggugurkan risalah di beberapa kampung”, kata seorang penduduk kampung Kfarshuba berhampiran sempadan, yang mahu namanya dirahsiakan atas faktor keselamatan.
Seorang lagi penduduk berkata risalah tersebut digugurkan sebanyak dua kali.
“Kepada penduduk di selatan Lubnan, kami (Israel) memaklumkan kepada anda bahawa pengganas Hizbullah sedang menyusup masuk ke dalam rumah dan tanah anda.
“Anda mesti menghentikan perbuatan tersebut demi keselamatan anda sendiri,” menurut kenyataan yang ditulis pada risalah itu.
Tentera Israel pernah menggunakan taktik sama ketika konflik dengan Hizbullah pada 2006.
Penduduk di sepanjang sempadan Lubnan berkata tentera Israel telah meningkatkan pengeboman sejak beberapa hari lalu. – AFP, 16 Disember, 2023.
Komen