Netanyahu gesa Hamas segera letak senjata


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam menyeru pejuang Hamas meletakkan senjata mereka. – Gambar EPA, 11 Disember 2023.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam menyeru pejuang Hamas meletakkan senjata mereka dan berkata pengakhiran kumpulan Islam Palestin sudah hampir, ketika perang di Semenanjung Gaza berlaku lebih dua bulan.

“Perang masih berterusan, tetapi ia adalah permulaan kepada penghujung Hamas. Saya berkata kepada Hamas: Sudah berakhir. Serahlah sekarang,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan merujuk kepada ketua Hamas di Semenanjung Gaza.

“Dalam beberapa hari lalu, berpuluh-puluh anggota Hamas menyerah diri kepada pasukan kami,” kata Netanyahu.

Tentera Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan bukti pejuang itu menyerah diri dan Hamas menolak dakwaan tersebut.

Hampir sebulan yang lalu Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata Hamas “hilang kawalan” ke atas Gaza.

Ahli kanan biro politik Hamas Izzat al-Rishq berkata sejarah akan “mengingati Gaza sebagai kemenangan paling jelas” bagi pejuang Palestin.

“Tamat pendudukan bermula di Gaza,” kata Rishq.

Perang berterusan meletus apabila pejuang Hamas menyeberang dari Gaza ke selatan Israel pada 7 Oktober membunuh kira-kira 1,200 orang manakala 240 orang ditahan, menurut Israel.

Israel bertindak balas dengan serangan tentera tanpa henti yang menyebabkan sebahagian besar Gaza musnah dan membunuh sekurang-kurangnya 17,997 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. – AFP, 11 Disember 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen