Ada petanda positif akses bantuan ke Gaza melalui Israel, kata PBB


Pusat pemeriksaan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza menjadi laluan kemasukan 60% barangan ke wilayah yang dikepung sebelum bermulanya perang antara Israel dan Palestin. – Gambar AFP, 8 Disember, 2023.

KETUA Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths, berkata beliau melihat ada tanda positif bagi pembukaan lintasan Kerem Shalom dari Israel ke Gaza tidak lama lagi dalam usaha membawa masuk bantuan.

“Kami masih berunding dan dengan beberapa tanda yang menjanjikan pada masa ini, akses melalui Kerem Shalom mungkin boleh dibuka tidak lama lagi,” kata Griffiths pada sidang media di Geneva.

Pusat pemeriksaan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza menjadi laluan kemasukan 60% barangan ke wilayah yang dikepung sebelum bermulanya perang antara Israel dan Palestin.

Pada masa ini hanya lintasan sempadan Rafah dengan Mesir dibuka.

“Kami berusaha untuk pembukaan Kerem Shalom dan bukan hanya sebagai pembukaan membenarkan trak melalui Rafah dan kemudian ke Gaza, tetapi terus melalui Kerem Shalom sehingga ke bahagian utara Gaza, atau di mana perlu.

“Jika kita mendapat itu, ia adalah keajaiban pertama yang dapat kita lihat selepas beberapa minggu dan akan menjadi rangsangan besar kepada proses logistik… ia akan mengubah sifat akses kemanusiaan,” katanya.

Korban orang awam yang tinggi mencetuskan kebimbangan global, diburukkan lagi oleh kekurangan teruk disebabkan pengepungan Israel yang menyaksikan hanya bekalan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan yang terhad memasuki Gaza.

Griffiths berkata terdapat juga perbincangan kemungkinan memacu bantuan ke Gaza dari Jordan, yang bersempadan dengan Israel dan Tebing Barat yang diduduki.

“Saya mempunyai wakil di Jordan, sudah pun menyusun potensi penghantaran bantuan melalui darat dari Jordan yang boleh datang terus dari Jordan melalui Jambatan Allenby, terus ke Kerem Shalom,” katanya. – AFP, 8 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen