AS guna kuasa veto bantah resolusi gencatan senjata di Gaza


AMERIKA Syarikat (AS) pada Jumaat menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak gencatan senjata segera dalam pertempuran sengit antara Israel dan Hamas di Gaza.

Washington menentang tuntutan yang dipimpin oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan negara-negara Arab, dengan Duta Besar AS ke PBB Robert Wood berkata resolusi berkenaan tidak seimbang dan jauh dari realiti.

Beliau menyifatkan resolusi itu dibuat secara tergesa-gesa dan lebih menguntungkan Hamas.

“Resolusi ini masih mengandungi gesaan untuk gencatan senjata tanpa syarat… ini akan membolehkan Hamas mengulangi apa yang dilakukannya pada 7 Oktober,” kata Wood.

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan selepas pertempuran selama berminggu-minggu yang menyebabkan lebih 17,487 orang terkorban di Gaza.

Sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, Washington boleh menggunakan kuasa vetonya terhadap mana-mana resolusi. 

Draf resolusi dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu disokong 13 ahli majlis, manakala Britain pula mengambil sikap untuk berkecuali. 

Wakil tetap Palestin menyifatkan kegagalan resolusi itu sebagai kegagalan Majlis Keselamatan PBB menjalankan fungsinya untuk menjaga keamanan dan perdamaian antarabangsa.

China dan Rusia turut mengecam tindakan veto AS itu. – AFP, 9 Disember, 2023.


 
      

 
      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen