Ketua Hamas lawat Mesir runding gencatan senjata Gaza


Ketua Hamas Ismail Haniyeh akan mengetuai delegasi ‘pimipinan tinggi’ Hamas ke Mesir. – Gambar EPA, 20 Disember, 2023.

KETUA Hamas Ismail Haniyeh sedia melawat Mesir hari ini untuk melakukan rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel, kata sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang Palestin tersebut.

Haniyeh, yang berpangkalan di Qatar, akan mengetuai delegasi “pimipinan tinggi” Hamas ke Mesir, di mana beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel dan pihak lain, kata sumber itu kepada AFP semalam.

“Perbincangan bertujuan menghentikan pencerobohan dan perang untuk menyediakan perjanjian bagi pembebasan tawanan (dan) menamatkan kepungan berterusan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza,” kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan.

Di bawah perjanjian gencatan senjata selama seminggu bulan lalu, yang disokong Mesir dan Amerika Syarikat (AS) serta Qatar, 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Menurut sumber Hamas, rundingan di Mesir akan memberi tumpuan kepada “penyaluran bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pemindahan semula penduduk yang dipindahkan ke bandar dan kampung mereka di utara”.

Kunjungan Haniyeh akan menjadi lawatan kedua beliau ke Mesir sejak permulaan perang pada 7 Oktober lalu, selepas lawatan pada awal November.

Laman berita AS Axios pada Isnin melaporkan Ketua Agensi Perisikan Mossad, David Barnea bertemu dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Bill Burns di Eropah untuk membincangkan perjanjian baharu yang berpotensi untuk membebaskan tebusan.

Semalam, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau “baru sahaja menghantar ketua Mossad itu ke Eropah dua kali untuk mempromosikan proses membebaskan tebusan mereka”.

“Saya tidak akan berusaha keras mengenai perkara itu, dan tugas kami adalah untuk membawa mereka semua kembali,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika bertemu dengan keluarga tebusan semalam, Netanyahu berkata “menyelamatkan mereka adalah tugas yang amat besar”. – AFP, 20 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen