TANAH di mana bangunan hotel The St. Regis Langkawi dibina masih milik Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), menurut Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata pemilikan tanah masih belum diselesaikan kerana isu tadbir urus semasa pembangunannya.
Tempat peranginan itu dibuka pada 2016.
“Ada isu tanah (pemilikan) mengenai St. Regis (Langkawi). Terdapat isu salah laku semasa proses pembangunannya.
“Mereka (pemaju) tidak mematuhi perjanjian awal, Lada tidak membenarkan tanah kami dijadikan cagaran.
“Mereka (St Regis Resort) mahu jadikan tanah itu sebagai cagaran tetapi kami tidak benarkan. Jadi, kami tidak tandatangan. Justeru, tanah itu bukan milik St Regis, ia masih milik Lada,” katanya dipetik The New Straits Times, hari ini.
Sanusi berkata St. Regis tidak memajak tanah itu daripada Lada, jadi negeri tidak boleh mengutip sebarang hasil melalui pajakan.
Katanya perkara itu perlu dirujuk kepada kerajaan Persekutuan kerana Lada adalah agensi di bawah kementerian.
Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dikeluarkan hari ini mendedahkan Lada gagal mengutip hasil pajakan dua projek hartanah.
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam laporan itu berkata jumlah hasil pajakan yang gagal dikutip sebanyak RM11.49 juta.
Dua projek itu adalah Projek Pembangunan Hotel St. Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018 dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003. – 22 November, 2023.
Komen