PAS mesti fokus pikat pengundi muda, kata Sanusi


Muhammad Sanusi Md Nor berkata PAS mesti membina kejayaan gelombang hijaunya dan bergerak ke hadapan jika mahu memenangi PRU16. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

PAS mesti membina kejayaan gelombang hijaunya dan bergerak ke hadapan jika mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengarah pilihan raya parti Islam itu berkata parti itu mesti memulakan hidup baharu dan melepaskan diri daripada politik tradisional serta merangka pelan untuk memikat pengundi muda.

“Pas mesti membuat keputusan untuk berada di zon baharu dan mempelbagaikan gerakan politik dan tidak terkurung dalam politik tradisinya.

“Parti mesti merangka (rancangan) di semua negeri untuk bergerak ke hadapan sehingga ke peringkat seterusnya untuk memerintah sekurang-kurangnya satu negeri lagi, sama ada Perak atau Pahang,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar ke-69 hari ini.

Beliau berkata kerja keras dan pelan strategik di bawah pimpinan presiden Abdul Hadi Awang PAS kini menjadi pemain terkemuka dalam politik Malaysia sebagai ‘king maker’ dan parti itu mesti membinanya.

“Pas mesti meletakkan diri mereka dalam politik arus perdana Malaysia dan satu pendekatan adalah memastikan ia tidak menggunakan politik ‘membosankan’ untuk menawan pengundi muda.

“Hampir 100 peratus masjid dan surau dikuasai Pas dan ia mesti diperluaskan lagi demi masa depan parti,” kata menteri besar Kedah itu.

Beliau berkata parti itu mesti menawan dan menakluki pasaran pengundi muda yang tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik tetapi mempunyai banyak kuasa mengundi.

“Ini adalah pasaran yang PAS perlu kuasai dalam perjalanan politik masa depan kita,” isytiharnya. – 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen