Sanusi persembah senarai calon exco kepada Sultan Kedah Khamis ini


Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata senarai exco yang diperoleh daripada kepimpinan parti komponen PN akan dipersembah kepada Sultan Kedah untuk mendapat perkenan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2023.

MENTERI Besar Muhammad Sanusi Md Nor akan menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mempersembahkan senarai nama calon Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (exco) di Istana Anak Bukit, Khamis ini.

Beliau berkata senarai nama calon exco tersebut diperoleh daripada kepimpinan parti komponen Perikatan Nasional dan akan dipersembah kepada Sultan Kedah untuk mendapat perkenan baginda.

“Minggu ini persembahkan senarai calon exco dan awal minggu depan akan angkat sumpah, lepas itu baru kita susun perkara lain… susah hendak buat pilihan, saya terima (nama), saya tapis sikit dan bagi pandangan sedikit sebelum persembahkan kepada Tuanku Sultan.

“Sekiranya Tuanku Sultan perkenan okey la semuanya, kalau tidak kita akan buat pertukaran… saya tidak boleh bagi tahu nama siapa kerana tidak boleh mendahului proses-proses yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain yang polis akan memanggil beliau untuk memberi keterangan berhubung tindakan yang dikatakan sengaja menayang kertas undi kepada petugas media pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Sanusi meminta cerita berkaitan perkara itu dihentikan.

Razarudin hari ini memaklumkan siasatan terhadap menteri besar Kedah itu dijalankan selepas didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan pihaknya akan melihat cadangan yang bersesuaian termasuk mengikut Sekyen 19 akta sama.

Terdahulu, Sanusi merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kedah dan mengedarkan bendera itu di dua lokasi iaitu Plaza Tol Alor Setar (Utara) dan premis perniagaan di Kompleks City Plaza di Alor Setar.

Beliau berkata kempen itu bertujuan menyemarak dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama di Kedah sempena sambutan Hari Kebangsaan. – Bernama, 15 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen