Empangan Sabo, RTB tangani banjir di Baling, kata Sanusi 


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata proses itu sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran membabitkan kos RM20 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.

PEMBINAAN dua empangan Sabo di Kampung Iboi, Baling, bagi memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas, kini dalam proses penilaian tender.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata proses itu sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kedua-dua empangan itu akan membabitkan kos RM20 juta.

“Empangan Sabo itu juga bertujuan menyekat kayu dan bongkahan batu yang hanyut bersama aliran air deras yang boleh memusnahkan penempatan penduduk,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi di bawah kerajaan Persekutuan pada Ahad lepas, berkenaan menangani kesan banjir di daerah Baling yang berlaku baru-baru ini.

Menurutnya selain pembinaan dua Empangan Sabo tersebut, perkara lain yang diputuskan pada mesyuarat itu ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling yang melibatkan tiga fasa.

Katanya proses mengeluarkan tender bagi RTB Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dijangka diselesaikan pada Februari tahun depan, manakala RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta kini dalam proses penilaian tender.

“RTB Baling Fasa 3 pula dalam proses penyediaan kerta kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata Pejabat Daerah Baling akan membaiki atau membina semula tiga titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan di jalan Kampung Iboi yang musnah atau rosak akibat banjir baru-baru ini.

Selain itu, katanya kerosakan cerun atau tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah dan di Kampung Tualang juga akan diambil tindakan.

“Sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Padang Cina dengan kos RM3 juta, selain sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di beberapa kampung. Kesemua projek ini di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Kedah,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri juga sedang memberikan perhatian terhadap banyak aduan kerosakan infra termasuk tebing runtuh di beberapa lokasi yang berdasarkan penilaian, kos membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh itu dianggar RM5.6 juta.

Dalam kejadian banjir pada minggu lepas, kira-kira 650 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara di Baling selain menyebabkan kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan di daerah itu. – Bernama, 3 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen