Amirudin saman Sanusi kerana memfitnah


Ravin Palanisamy

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung skandal membabitkan projek pembersihan Sungai Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan pemimpin itu terbabit skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan membabitkan projek pembersihan Sungai Klang.

Peguam Amirudin, Haijan Omar mengesahkan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam dengan salinan kertas kausa diserahkan kepada defendan.

Pasukan peguam ahli Parlimen Gombak pada 9 Ogos menyampaikan surat tuntutan kepada Sanusi memohon defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Sanusi didakwa membuat tuntutan membabitkan Amirudin dan Tan serta rancangan untuk melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang semasa ucapan ‘Jelajah Mega PN Best Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah menjelang ke Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

Tan juga memfailkan saman fitnah yang sama terhadap Sanusi.

Menurut pernyataan tuntutan Amirudin beliau mendakwa Sanusi gagal mematuhi surat undang-undangnya untuk menarik balik dakwaan itu dan memohon maaf berhubung ucapan yang dibuat semasa tempoh kempen pilihan raya negeri pada 2 Ogos.

Plaintif mendakwa ucapan itu antara lain membayangkan beliau menyalahgunakan kuasa sebagai MB Selangor dengan terlibat dalam amalan rasuah yang dikaitkan dengan Projek Gerbang Maritim Selangor (Projek SMG).

Amirudin mendakwa dakwaan itu membayangkan beliau terlibat dalam salah guna kuasa sehingga menyebabkan 242.8 hektar tanah negeri bernilai RM10 bilion diberikan secara percuma kepada Tan atau syarikat ahli perniagaan itu, Berjaya Land Berhad.

Amirudin juga berhujah Sanusi secara melulu mengeluarkan dakwaan tidak benar “bermotifkan politik” untuk “menyinggung plaintif menjelang PRN pada 12 Ogos”.

“Kenyataan fitnah dan penerbitan semula kenyataan berunsur fitnah menyebabkan plaintif diperlekeh secara meluas oleh orang awam sebagai ‘cokia’ hingga menjejaskan watak dan reputasinya,” katanya.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan serta injunksi untuk menghalang Sanusi daripada mengulangi dakwaan tersebut. – 31 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen