Amirudin mahu fail saman fitnah terhadap Sanusi


MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata tuduhan yang dilemparkan oleh Menteri Besar Kedah terhadapnya pada perhimpunan kempen pilihan raya di Jitra adalah fitnah dan beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang.

Amirudin dalam satu kenyataan berkata beliau menafikan sekeras-kerasnya semua pertuduhan Muhammad Sanusi Md Nor pada perhimpunan Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman.

Sanusi menuduh Amirudin bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk memberikan projek di Selangor.

“Ucapan beliau tersebut jelas adalah fitnah, dan menrupakan percubaan oleh orang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal REE yang terpalit ke atas beliau yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini.

Menteri besar Kedah itu didakwa bersubahat dengan seorang warga China untuk mencuri unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Warga China itu dilaporkan memiliki syarikat Prospek Suria, yang menjalin usaha sama dengan Kedah Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk penerokaan REE di Hutan Bukit Enggang, Sik.

Amirudin berkata beliau telah menjelaskan secara panjang lebar perkara yang dikemukakan Sanusi pada perhimpunan di DUN tahun lepas dan sekali lagi awal tahun ini serta di Parlimen pada 1 Mac.

Katanya beliau akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Sanusi dalam masa terdekat.

Sanusi sudah pun menghadapi tuduhan hasutan.

Pada 18 Julai, beliau bagaimanapun minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapan politik pada 11 Julai. – 4 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen