Hajiji sanggah dakwaan salah guna kuasa lulus permohonan tanah di Kudat


Tular di media sosial dakwaan salah guna kuasa oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor meluluskan permohonan enam tanah melibatkan 968.4 hektar di Kudat, dan dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

KETUA Menteri Sabah Hajiji Noor hari ini menyangkal dakwaan salah guna kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.

Hajiji dalam kenyataan berkata tuduhan itu berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya, dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap sebarang siasatan berhubung dakwaan itu.

Beliau berkata semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

“Permohonan untuk tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada ahli lembaga pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Baru-baru ini, tular menerusi media sosial dakwaan salah guna kuasa oleh Hajiji sebagai ketua menteri yang meluluskan permohonan enam tanah melibatkan 968.4 hektar di Kudat, dan dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan Sarawak.

Hajiji berkata pihak berkuasa sudah dimaklumkan tentang akaun media sosial yang membuat hantaran berhubung dakwaan itu yang bertujuan mencemarkan reputasi beliau.

“Saya akan berunding dengan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.

Beliau berkata siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang didapati mendedahkan dokumen sulit yang digunakan untuk membuat dakwaan berkenaan. – Bernama, 9 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen