Bantuan RM320.25 juta bantu percepat usaha Sabah tangani krisis air, kata Hajiji


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (kanan) hadir pada mesyuarat bersama perdana menteri mengenai bakalan air di Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 1 Jun, 2023.

KERAJAAN negeri Sabah yakin bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan akan membantu mempercepat pelan jangka pendeknya dalam menangani krisis air di negeri itu.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata bantuan kewangan sebanyak RM320.25 juta itu merangkumi pelaksanaan enam program yang terdiri daripada 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

“Projek ini dijangka memakan masa antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hajiji mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan memberi taklimat mengenai pelan Sabah bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu.

Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri III Shahelmy Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Hajiji turut memaklumkan beliau berkongsi pelan jangka panjang kerajaan negeri Sabah berkaitan bekalan air berimpak tinggi termasuk projek dua empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang.

Katanya, perdana menteri mahu pasukan khas yang terdiri daripada menteri di peringkat negeri dan persekutuan ditubuhkan segera bagi mencari pendekatan holistik dan kaedah terbaik dalam merealisasikannya. – Bernama, 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen