Perak sedia jual pasir, batu kepada Pulau Pinang, kata MB


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata negeri itu bersedia menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang sekiranya terdapat permintaan daripada negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

PERAK bersedia menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang sekiranya terdapat permintaan daripada negeri itu, kata Menteri Besar Saarani Mohamad.

Saarani berkata permintaan itu boleh dipertimbangkan sekiranya mendapat tawaran harga yang berpatutan seterusnya mampu memberi keuntungan kepada Perak.

“Kita juga perlu melihat kepada keperluan (Pulau Pinang) sebelum menjual (pasir dan batu). Sekarang pun kita memang menjual pasir,” katanya pada sidang media selepas majlis akad penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC ) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor menegaskan pihaknya tidak akan menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Sanusi dilaporkan mendakwa projek berkenaan hanya dilaksanakan untuk kepentingan orang kaya semata-mata kerana rumah yang dibina bakal dijual pada harga tinggi bagi mendapatkan semula modal menambak pulau tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula berkata projek itu akan diteruskan dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

Sementara itu Saarani berkata kerajaan Perak menerima sumbangan 400 ekor lembu yang bernilai RM2.92 juta daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Menurutnya setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban. 

“Pelaksanaan ibadah korban ini juga perlu mematuhi peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya. – Bernama, 7 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen