Bersih mesyuarat bincang peletakan jawatan pengerusi


Alfian Z.M. Tahir

Thomas Fann umum peletakan jawatan pengerusi Bersih semalam, sepuluh hari selepas beliau dilantik semula ke jawatan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat selepas Thomas Fann meletak jawatan pengerusi secara mengejut semalam.

“Kami akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi dan akan maklumkan keputusan serta rancangan kami untuk bergerak ke hadapan.

“Kami berterima kasih atas keprihatinan semua pihak,” kata timbalan pengerusi badan pemantau pilihan raya itu Wong Kan Ye dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, mesyuarat tersebut akan diadakan malam ini di lokasi yang tidak didedahkan.

Semalam, Fann umum peletakan jawatan pengerusi Bersih, sepuluh hari selepas beliau dilantik semula ke jawatan itu. 

Fann menang pemilihan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2023-2025 yang menyaksikan beliau menang tanpa bertanding bagi tempoh sepenggal lagi.

Dalam pengumumannya semalam, Fann berkata keputusannya itu dibuat selepas mendapati usahanya untuk membawa Bersih menjadi institusi rakyat ditolak majoriti NGO yang menyokong badan pemantau itu.

“Walaupun saya memenangi jawatan pengerusi tanpa bertanding untuk sepenggal lagi, tetapi jelas usaha saya untuk mengembangkan Bersih kepada institusi rakyat ditolak oleh majoriti NGO yang menyokong Bersih.

“Atas kesedaran ini, saya meletakkan jawatan dengan notis dua bulan dan untuk memastikan peralihan kepimpinan yang lancar sehingga pengerusi baharu dipilih, saya masih kekal sehingga pengerusi baharu dilantik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata Fann lagi, dalam pemilihan Jawatankuasa Pemandu Bersih lebih seminggu lalu empat daripada lima jawatan yang dipertandingkan iaitu timbalan pengerusi, bendahari, dan tiga jawatan ahli jawatankuasa itu dimenangi oleh calon lawan.

Ini katanya mesej jelas bahawa visi dan hala tuju yang ingin dibawanya ditolak.

“Ini adalah undi tidak percaya,” katanya.

Tambahnya bekas aktivis pelajar Wong Yan Ke, yang kini dipilih sebagai timbalan pengerusi mempunyai pandangan yang bertentangan mengenai hala tuju Bersih.

“Pasukan saya berkempen untuk kesinambungan bagi membawa Bersih menjadi institusi rakyat manakala Timbalan Pengerusi Wong Yan Ke, dan mereka yang berkempen untuk beliau, mendesak untuk mengembalikan Bersih ke akarnya semula sebagai gerakan rakyat,” jelasnya.

Fann mengambil alih jawatan pengerusi daripada Maria Chin Abdullah pada Oktober 2018. – 20 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen