Penganalisis yakin langkah 'daerah angkat' Tengku Zafrul untuk pancing undi


Raevathi Supramaniam

Pengumuman Kuala Selangor sebagai 'daerah angkat' oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya untuk meraih undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

LANGKAH Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadikan satu kawasan di Kuala Selangor sebagai “daerah angkat” boleh dilihat sebagai percubaan memancing undi bagi pilihan raya umum akan datang, sama ada beliau bertanding di kerusi itu atau tidak, kata kumpulan masyarakat sivil dan penganalisis.

Lebih teruk, tindakan sedemikian adalah menyalahgunakan kedudukannya kerana beliau menunjukkan keutamaan layanan kepada kawasan tertentu, sedangkan tugas seorang menteri adalah untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Pihak lain juga berasa tindakan Tengku Zafrul bermasalah kerana beliau bukan wakil rakyat.

Thomas Fann, pengerusi badan pemantau pilihan raya Bersih berkata sebagai menteri, Tengku Zafrul mesti melayan semua kawasan dengan adil.

“Menjadikan daerah angkat untuk memacu pembangunan membayangkan beliau memberi keutamaan khusus kepada Kuala Selangor sebagai menteri kewangan.

“Sebagai menteri persekutuan beliau perlu melayan semua daerah dan negeri secara adil.

“Ia jelas menyalahgunakan kedudukannya, sama ada beliau akan bertanding di sana atau tidak untuk pilihan raya umum,” kata Fann kepada The Malaysian Insight.

Walaupun begitu, Tengku Zafrul tidak melanggar mana-mana undang-undang, kata Fann.

Tengku Zafrul yang juga senator, menganjurkan majlis yang dipanggil Majlis Kenduri Rakyat di Puncak Alam pada hujung minggu lalu dan berkata kementeriannya menjadikan Kuala Selangor sebagai “daerah angkat”, yang akan membantu memacu pembangunan di kawasan itu.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” kata Tengku Zafrul kepada hadirin, seperti dipetik Bernama.

Menteri kewangan itu dikhabarkan mengintai kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

Beliau baru-baru ini didedahkan sebagai ahli Umno lama oleh setiausaha agung parti Ahmad Maslan. 

Bagaimanapun, pelantikan Tengku Zafrul ke jawatan kewangan adalah oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pada majlis di Puncak Alam itu, Tengku Zafrul ketika menyatakan rasa sayangnya terhadap Kuala Selangor turut berkata Kementerian Kewangan bukan menumpukan kepada rancangan pembangunan kawasan itu sahaja tetapi juga untuk semua daerah lain.

Dr Muhammad Mohan, presiden Transparency International Malaysia, berkata Tengku Zafrul harus mengelak daripada komen sedemikian kerana ia boleh disalah anggap sebagai membeli undi.

“Beliau menteri kewangan dan ada khabar angin beliau akan bertanding di kawasan itu.

“Beliau sepatutnya mengelak daripada mengambil Kuala Selangor sebagai daerah angkat, orang akan kata ia adalah salah guna kuasa,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mengambil tindakan terhadap Tengku Zafrul, kata Mohan.

“Sebagai menteri kewangan, rakyat memandang tinggi kepada anda. Beliau tidak mewakili mana-mana parti, rakyat memandang tinggi terhadapnya dan mengharapkan beliau tidak mencemarkan nama baiknya.”

Cakap-cakap yang Tengku Zafrul mungkin bertanding untuk Umno di Kuala Selangor tidak disahkan atau dinafikan oleh mana-mana pemimpin parti itu. Apatah lagi, tiada tarikh ditetapkan untuk PRU15. Tetapi aktiviti senator di kerusi itu tidak disambut baik oleh akar umbi Umno tempatan.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga bersetuju yang sikap pilih kasih Tengku Zafrul adalah penyalahgunaan kuasa menterinya.

“Sebagai menteri persekutuan, beliau tidak sepatutnya memihak kepada sesuatu kawasan berbanding yang lain,” kata Tunku Mohar.

“Ia adalah satu kes salah guna kuasa yang jelas, menggunakan kementeriannya dan lebih teruk lagi—wang pembayar cukai, untuk meneruskan cita-cita politiknya.

“Adalah tidak wajar seorang menteri persekutuan berbuat demikian.”

Sementara itu, penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania berkata Tengku Zafrul hanya bertindak seperti mana-mana ahli politik, kecuali beliau bukan wakil rakyat.

“Semua menteri pada tahap tertentu menyalahgunakan kuasa mereka dan ia dipanggil sebagai ‘budi bicara menteri’,” kata Chin.

“Ia hanya luar biasa kerana Tengku Zafrul bukan ahli Parlimen, tetapi sebagai menteri beliau mempunyai peruntukan besar yang boleh digunakan di mana yang beliau mahu.”

Chin berkata hanya ada satu sebab yang baik untuk Tengku Zafrul menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat, beliau mahu meraih undi.

“Jelas sekali, anda hanya melakukan ini jika anda ingin memancing undi.” – 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen