Tengku Zafrul umum pembinaan stesen ECRL Puncak Alam diluluskan


Tengku Zafrul Abdul Aziz mengelak apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2022.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini dan Alhamdulillah ia diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat Kuala Selangor di Puncak Alam malam ini.

Beliau berkata, bagi pembinaan stesen ECRL yang lain, pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Pada masa sama, Tengku Zafrul juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata, bagaimanapun semua kementerian serta agensi kerajaan akan terus memberi bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di negara ini termasuk di Kuala Selangor.

Mengenai program lawatannya yang dikatakan selalu dibuat di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjelaskan beliau melakukan lawatan di pelbagai kawasan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di daerah itu sahaja.

“Apabila anda harus membuat sesuatu dasar, penting untuk kita memahami keadaan di bawah, oleh kerana itu saya menjelajah ke seluruh pelusuk Malaysia dan isu paling utama sekarang adalah memastikan usaha pemulihan ekonomi terus bergerak di landasan yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya adakah beliau mungkin bertanding di Kuala Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau berkata buat masa ini fokusnya adalah di Kementerian Kewangan. – Bernama, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen