Anwar perlu kekalkan tiada lantikan politik, kata Bersih


Noel Achariam

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata keputusan Kabinet memberhentikan lantikan politik mesti dipatuhi oleh semua menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2022.

AKTIVIS antirasuah menyeru kerajaan melantik orang yang berkelayakan untuk menerajui syarikat dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan bukannya lantikan politik.

Mereka berkata keputusan Kabinet memberhentikan lantikan politik mesti dipatuhi oleh semua menteri.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata jika niat Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah untuk menghentikan pelantikan politik kepada GLC, GLIC dan badan berkanun maka beliau perlu mengisytiharkannya dengan jelas dan mengarahkan menteri Kabinetnya sendiri untuk menghentikan amalan ini.

“Kami berharap pemberhentian lantikan sebelum ini bukan sekadar penggantian untuk melantik lantikan daripada parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan ini,” katanya.

Rabu lepas Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata Putrajaya akan menamatkan kontrak pengerusi dan pengarah GLC serta badan yang dilantik secara politik.

Bagaimanapun sehari kemudian Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra.

Fann berkata GLC, GLIC dan badan berkanun ditubuhkan untuk melabur dan melindungi kekayaan awam dan hanya orang yang paling layak perlu dilantik.

“Ia bukan sistem ganjaran untuk penyokong setia politik.

“Jika pelantikan Ahmad Jazlan dilakukan bertentangan dengan dasar Anwar untuk menamatkan amalan sedemikian, maka beliau mesti membatalkannya,” katanya.

Beliau juga menambah bagi kebanyakan badan ini sudah ada suruhanjaya atau kumpulan yang digubal yang menyelia pelantikan dan mereka harus dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa campur tangan politik.

Bekas profesor ekonomi politik Universiti Malaya Edmund Terence Gomez berkata Zahid membuat keputusan sebelah pihak berhubung pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai pengerusi Felcra.

“Perdana menteri perlu mengambil tindakan untuk menghentikan perkara ini bagi memastikan keputusan Kabinet dipatuhi oleh semua menteri.

“Ia tidak boleh disalahgunakan oleh menteri tertentu, malah presiden Umno atau timbalan perdana menteri.

“Kerana ia boleh digunakan untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Beliau berkata Kabinet membuat keputusan lantikan politik dalam GLC di bawah Kementerian Kewangan akan dibuang.

“Jadi kita kena lihat GLC yang berada di bawah MOF di mana Felcra adalah salah satu daripadanya.

“Felcra sentiasa menjadi institusi yang sangat penting bagi pemimpin Umno. Apa yang Zahid lakukan harus dikritik,” katanya.

Beliau berkata melihat kepada kontroversi di Felcra, ini adalah institusi yang perlu ditangani dengan berhati-hati

“Sesiapa yang menguasai Felcra ia akhirnya akan mempunyai kawalan ke atas sumber untuk menyalurkannya ke kawasan pilihan raya untuk membangunkan asas politik mereka.

“Ini adalah bagaimana ia disalahgunakan pada masa lalu yang membawa kepada rasuah,” katanya. – 19 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen