Pakar perubatan mahu GEG dibentang


PERSATUAN Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) ingin meluahkan rasa kekecewaan yang besar dan risau dengan keputusan kerajaan menangguhkan bacaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan sekaligus memansuhkan klausa generational end game (GEG) RUU tersebut.

Kami berpendapat ini langkah terkebelakang yang akan menjerumuskan rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak dan remaja ke kancah ketagihan nikotin dan penagihan dadah.

Vape semakin menunjukkan kesan kesihatan yang serius.

Laporan penyelidik Pusat Perubatan Universiti Malaya semasa pandemik Covid-19 menunjukkan insiden e-cigarette or vaping associated lung injury (EVALI) mencecah 840 per 100 000 kes yang dimasukkan ke hospital akibat gejala pernafasan yang serius.

Tambahan lagi, negara kita juga dikejutkan dengan kematian remaja perempuan berumur 16 tahun pada 5 Jun 2023 yang disyaki akibat vape.

Selain itu, seorang kanak-kanak berumur 2 tahun di Bera, Pahang pula dilaporkan ditemui dalam keadaan sawan dengan cecair vape di sebelahnya pada 30 Mei 2023.

Kesemua dapatan dan insiden ini menunjukkan vape berpotensi menjadi lebih bahaya berbanding rokok konvensional kerana tidak mempunyai regulasi yang sepatutnya melindungi remaja dan kanak-kanak.

Tambahan lagi, pengeluaran nikotin daripada Akta Racun pada 1 April 2023 mencipta satu lompong regulasi di mana sehingga kini, vape dan nikotin boleh dijual kepada kanak-kanak dan remaja tanpa menjadi satu kesalahan.

Tindakan kerajaan dalam mengeluarkan nikotin dari regulasi ini juga menimbulkan persepsi yang salah kepada orang awam terutamanya golongan muda yang pengambilan bahan mengandungi nikotin adalah selamat dan dibenarkan tanpa sebarang implikasi kepada kesihatan.

Selain kesan kesihatan yang dahsyat, vape juga berpotensi menimbulkan implikasi sosial kepada Malaysia.

Sehingga kini, tiada kawalan terhadap kandungan e-liquid dalam peranti vape.

Ini membolehkan dadah berbahaya dijual dan dicampurkan ke dalam cecair e-liquid secara berleluasa dan ini dibuktikan dalam insiden yang berlaku dan tular di media sosial.

1. Pada 26 Februari 2023, dalam laporan akhbar The Star, program advokasi oleh Universiti Malaya untuk kawalan rokok dan vape di sebuah sekolah di Petaling Jaya mendapati, terdapat pelajar memasukkan tar yang ditumbuk ke dalam e-liquid bagi mendapatkan kesan khayal.

2. Kosmo Digital; 21 Mac 2021 melaporkan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, seramai 16 orang remaja lelaki direman tiga hari akibat pergaduhan melibatkan vape yang memberi kesan khayal seterusnya mengganggu rasional tindakan remaja ini.

3. Dalam laporan Astro Awani pada 27 April 2023; tiga remaja perempuan menjadi mangsa rogol sekumpulan remaja lelaki serendah usia 13 tahun di Kampung Air, Kota Kinabalu pada 27 April 2023 yang melibatkan bahan khayal dicampur ke dalam vape yang diberikan kepada remaja perempuan tersebut.

4. Laporan akhbar Utusan Malaysia 19 Mei 2022; seorang remaja perempuan seawal usia 14 tahun bersama dua lelaki dewasa ditangkap akibat sindiket menjual dan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang melibatkan cecair e-liquid.

5. Pada 3 Oktober 2023, Utusan Malaysia melaporkan di Port Dickson, seorang pemuda berusia 25 tahun ditangkap kerana mencampurkan dadah ketamin dalam cecair vape.

6. Pada 2 September 2023 Harian Metro melaporkan seramai 10 orang remaja di sebuah sekolah asrama di Ranau, Sabah ditangkap kerana kes buli berkenaan isu vape di dalam asrama apabila ia mengakibatkan ketidakpuasan hati antara pelajar yang tidak vape dengan pelajar vape. Kes ini tular di media sosial (Facebook dan Whatsapp) pada 3 Ogos 2023.

7. Utusan Malaysia pada 12 Januari 2023 melaporkan tangkapan dibuat terhadap tiga pemuda berumur antara 18 sehingga 23 tahun, dengan seorang adalah penjawat awam kerana memiliki cecair e-liquid mengandungi dadah ketamin.

Kesemua kes ini melibatkan penggunaan vape di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan muda.

Ia menunjukkan kesan sosial serius akibat daripada penggunaan vape kepada masyarakat.

Kami berpendapat, walaupun dengan regulasi, vape berpotensi disalahguna dan mencetuskan pelbagai masalah sosial.

Disebabkan itu kami menyokong penuh RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, khususnya bahagian GEG yang akan melindungi generasi akan datang daripada masalah sebegini.

RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibuat bagi melindungi rakyat Malaysia daripada kesan buruk produk merokok dan tembakau termasuk rokok, vape, shisha, dan snus.

RUU ini dibentangkan berkali-kali, merentasi dua kerajaan dan melibatkan beberapa semakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Namun yang demikian, RUU ini masih lagi tidak diluluskan, malah diubah tanpa mengira kepentingan kesihatan awam.

Ini mendatangkan persepsi yang mandat politik di negara mempunyai kepentingan lain selain kesihatan awam.

Memorandum dan penulisan di akhbar-akhbar banyak menunjukkan sokongan rakyat termasuk pakar-pakar kesihatan terhadap RUU ini.

Namun, dengan keputusan kerajaan melengahkan lagi bacaan RUU ini serta menghapuskan GEG di dalam RUU ini menunjukkan kerajaan tidak mempertimbangkan hasrat rakyat yang mahukan keutamaan dalam kesihatan awam.

Dengan keputusan ini, kerajaan sebenarnya gagal dalam mengamalkan perlindungan yang holistik terhadap hak kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah, berdasarkan Konvensyen Hak Kanakkanak “Convention on the Rights of the Child:1753” yang diratifikasi oleh kerajaan Malaysia pada 1995.

Tiga artikel penting dari konvensyen ini perlu disokong demi kesejahteraan generasi masa depan kita.

1. Artikel 3: Hak kanak-kanak dimana orang dewasa perlu melakukan yang terbaik untuk mereka

2. Artikel 4: Kerajaan mesti menghormati hak kanak-kanak

3. Artikel 33: Kanak-kanak perlu dilindungi daripada dadah berbahaya.

Sekali lagi, kami, FMSA ingin menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam termasuklah mengekalkan klausa generasi penamat GEG di dalam RUU tersebut.

Kerajaan perlu meletakkan kepentingan kesihatan awam di tempat yang lebih tinggi berbanding kepentingan politik dan ekonomi.

Kami berharap agar kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat ini dapat melihat isu ini dengan lebih serius dan mendengar keluhan serta kebimbangan rakyat. – 10 November, 2023.

* Dr Nor Hazlin Talib, presiden FMSA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen