17 kes berkaitan Evali dikesan, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata setakat bulan ini KKM sudah menerima sejumlah 17 kes berkaitan rokok elektronik (Evali). – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerima sejumlah 17 kes berkaitan rokok elektronik (Evali) setakat bulan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata semua pengamal perubatan diminta terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya mana-mana pesakit dikesan menghidap Evali.

“Oleh yang demikian, KKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vape adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan ia bukan satu kaedah alternatif untuk berhenti merokok.

“Bagi mereka yang merokok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik-klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman sesawang www.jomquit.com,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata pada 2021 Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali diwujudkan oleh KKM bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes-kes Evali.

Beliau berkata pada Jun tahun lepas KKM memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik termasuk Evali melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi.

Katanya sehingga kini penggunaan rokok elektronik terbukti mendatangkan kemudaratan kerana bahan terkandung dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberi kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit Evali.

Dr Muhammad Radzi juga berkata data yang diperoleh menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

“Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu daripada 2.8 peratus pada 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada 2022,” katanya. – Bernama, 13 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen