Menonton DiCaprio sebagai serigala meratah mangsa


Faisal Tehrani

FILEM terbaru, mungkin juga terakhir daripada Martin Scorsese, menampilkan sekali lagi Leonardo DiCaprio dan Robert de Niro. 

Killers of the Flower Moon berkepanjangan 206 minit adalah karya mengenai bagaimana serigala meratah mangsanya perlahan-lahan sehingga ke lapahan terakhir. Ia menakutkan tetapi juga mencengangkan, kerana khayalak dipupuk untuk merasai kejahatan dari kaca mata penjahat sendiri.

Diadaptasi dari kisah benar, iaitu karya non fiksi David Grann yang terbit pada 2017, ia adalah mengenai rangkaian pembunuhan sistematik puak asli Red Indian iaitu suku kaum Osage dalam tahun-tahun 1920-an di Oklahoma. 

DiCaprio yang pernah menjadi buah hati masyarakat sinema dengan filem Titanic memerankan watak Ernest Burkhart yang pulang dari medan perang kemudian dieksploit oleh pak ciknya (beliau dipaksa memanggilnya raja) iaitu William K. Hale (lakonan Robert De Niro). 

Hale seorang hartawan berkawan baik dengan Osage sebagai munafik yang tidak dapat dihidu. Dengan saranan Hale, Ernest kemudian terdorong mencintai Mollie Kyle (lakonan spektakular Lily Gladstone) sebagai seorang wanita Osage yang kaya. 

Apa yang menjadikan naratif menarik ialah Osage merupakan suka kaum yang kaya lantaran emas hitam atau minyak ditemukan pada tanah warisan mereka. Di sinilah datangnya serigala, kaum kulit putih yang ingin merampas hak kekayaan itu dan membolot segala dari suku Orang Asli tersebut.

Seperti mudah diduga, orang kulit putih mengahwini wanita Osage dengan niat untuk mewarisi kekayaan yang mereka miliki. Kaum lelaki Osage pula ditimpa malang, ketagihan wiski haram yang membunuh mereka perlahan-lahan. 

Anggota Osage yang tidak sedar diri lantaran beroleh harta secara mendadak memilih untuk joli sepuas hati. Itu misalnya terlihat pada watak adik Mollie, Anna (lakonan Cara Jade Myers) yang menjadi kaki botol dan ketagih jantan, sebelum dibunuh oleh abang Ernest, Bryan. 

Siri kematian dan pembunuhan masyarakat Osage ini menjadi wabak menular yang menakutkan. Pembunuhan menjadi sangat kejam semudah tikam, atau racun; sehinggalah ke tahap mengebom rumah mereka dengan dinamit. 

Di tengah itu semua Ernest yang bersekongkol mencuri harta benda Osage dan membunuh ahli keluarga isterinya, masih mencintai Mollie tetapi dek kebodohan (atau haloba) memilih untuk mempercayai pak ciknya.

Masih meneruskan ‘keganasan’ dan tema kesamsengan Taxi Driver, Goodfellas dan Raging Bull, Scorsese menukar tumpuan buku Grann iaitu punca lahirnya Bureau of Investigation (FBI) menjadi kisah cinta tragis antara Ernest dan Molly. 

Scorsese mengawal plot perlahan secara dramatik untuk meletupkannya dengan emosi dan ketegangan yang memuncak. Setiap minit adalah peleraian keganasan iaitu bagaimana pemangsa, Hale merubah cinta anak saudaranya menjadi ketamakan yang menggerunkan sehingga Ernest sanggup memangsakan isterinya sendiri.

Di jam akhir, audiens difahamkan bagaimana munculnya FBI apabila Washington mengutus Tom White (lakonan luar biasa Jesse Plemons) untuk menyiasat siri pembunuhan gila tersebut. Di sinilah muslihat serigala akhirnya terbongkar tetapi oleh sebab rasisme dan ketuanan orang putih, mereka dijuarakan.

Killers of the Flower Moon bukan sebuah filem yang sukar untuk diikuti, meskipun lebih 200 minit, setiap saat berharga untuk memaparkan kelicikan masyarakat kulit putih memangsai Osage. 

Pembentukan karektor Mollie Kyle adalah satu persembahan tragedi yang menunjukkan kemuncak seorang ‘matriarch’ dalam kehidupan bergemerlapan sebelum segalanya berantakan dan membawa kepada mala petaka sebenar. 

Untuk itu Lily Gladstone melakonnya dengan diam, berentak lagi berontak tetapi penuh magis. Apabila ditanyai Ernest apakah warna kulitnya, Mollie membalas: “Ya, warnaku.”

DiCaprio pula sangat berbeza berbanding watak-watak sebelumnya, benar-benar menjauhi diri dari apa yang pernah diperannya dan memberikan persembahan yang akan diingati sebagai lelaki bodoh, kejam, tetapi romantis.

Robert de Niro pula yang memang memegang keserasian dengan DiCaprio sejak filem This Boy’s Life amat berkesan dalam segala aspek penjarahan sehingga kita selaku audien merasai kekejamannya ke kulit dan inti daging. 

Tentu sahaja filem ini dibangunkan dengan naratif muzik yang menghantui. Sebagai filem mengenai masyarakat Orang Asli, Scorsese sekali lagi bekerja dengan Robbie Robertson, yang punya darah Cayuga dan Mohawk untuk mencipta skor filem ini. 

Hasilnya warna blues, warna lagu foklor dan warna lagu natif. Robertson menyiapkan skor terakhir sebelum meninggal dunia pertengahan tahun ini. Dapat dikatakan skor muzik Robertson adalah salah satu watak Osage yang hadir menggigit perasaan. 

Untuk membolehkan lingkungan Osage hidup, Scorsese memilih sinematografer yang sama, Rodrigo Prieto (krew filem 1MDB iaitu The Wolf of Wall Street, Silence dan The Irishman), dan keindahan lanskap Oklahoma dengan mood dan warna tahun 1920an diimbangi menggunakan lensa Panavision T siri yang dimodifikasi.

Menonton Killers of the Flower Moon memahamkan kita sudut pandang orang putih Amerika. Mengapa mereka merasai diri terpilih oleh Tuhan; mengapa mereka merasai diri mereka pandai dan harus menjadi tuan atau polis untuk bangsa lainnya; mengapa agama mereka meletakkan diri mereka sebagai paling ke hadapan; dan bagaimana mereka merasakan untung serta wajarnya menjadi serigala. 

Seperti yang diutarakan oleh Ernest Burkhardt di awal filem, dapatkah kamu melihat serigala dalam gambar ini: “Do you see the wolves in this picture?”

Dalam banyak keadaan serigala ini disebut-sebut sebagai Yahudi. Tentu Martin bersengaja melakukan rujukan kontroversial begini. 

Ketibaan Ernest di pekan kecil Osage sebagai pendatang kemudian berkembang menjadi pemilik harta sehinggalah kita melihat mereka membolot semuanya gesit mengingatkan kita bagaimana dan siapa tuan dan samseng dalam dunia hari ini.

Ia sebuah filem yang menakutkan tetapi disulami oleh cinta. Kita diminta percaya ada pemangsa yang memang mencintai mangsanya, justeru meratah perlahan-lahan sehingga lapahan terakhir. 

Luar biasa, Killers of the Flower Moon adalah sebuah kanun sinema Hollywood. – 7 November, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen