Leonardo DiCaprio beri keterangan di mahkamah kes 1MDB


Pelakon terkenal Hollywood Leonardo DiCaprio memberitahu mahkamah di Washigton beliau pertama kali bertemu Jho Low sekitar 2010 di sebuah parti di Las Vegas. – Gambar EPA, 4 April 2023.

PELAKON terkenal Hollywood Leonardo DiCaprio semalam hadir di mahkamah di Washington untuk memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah ahli politik membabitkan seorang bintang hip-hop 90-an dan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Low Taek Jho.

Anggota kumpulan muzik Fugees, Pras Michel, didakwa membantu menyalurkan wang secara rahsia daripada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk mempengaruhi ahli politik Amerika Syarikat (AS).

Pada perbicaraan semalam DiCaprio mendedahkan mengenai parti mewah yang dianjurkan Jho Low, yang didakwa menggunakan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

DiCaprio,48, memberitahu mahkamah Jho Low menganjurkan beberapa parti mewah di atas bot dan kelab malam membabitkan pelbagai individu dari seluruh dunia termasuk selebriti, antaranya Michel.

Bintang filem “Titanic” itu  berkata beliau pertama kali bertemu Jho Low sekitar 2010 di sebuah parti di Las Vegas.

Sejak itu Jho Low kerap menjemputnya ke beberapa parti, termasuk sambutan Malam Tahun Baharu yang turut dihadiri individu dari Australia yang diterbangkan ke AS menggunakan pesawat peribadi.

DiCaprio berkata beliau difahamkan Jho Low adalah ahli perniagaan terkemuka yang banyak hubungan perniagaan di Abu Dhabi, Malaysia.

Apabila Jho Low menyatakan minat untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi DiCaprio pada 2013, peguam pelakon itu dan seorang detektif menyiasat latar belakang ahli perniagaan Malaysia itu sebelum membuat perjanjian, katanya kepada mahkamah.

“Saya diberi lampu hijau oleh pasukan saya dan studio untuk menerima pembiayaan daripada Low.

“Ini bermakna siasatan latar belakangnya baik dan beliau adalah ahli perniagaan yang sah,” katanya. – AFP, 4 April 2023.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen